fbpx
LAMA menghilang menjauh dari radar dunia hiburan, namun penyanyi Hafiz Suip tidak pernah berhenti menyanyi, dia hanya berehat sebentar bagi mengumpul semula semangat yang hilang.

‘Asyik hiburkan orang, kali ini nak hiburkan diri sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKIAN lama menyepi, penyanyi Hafiz Suip akhirya tersenyum puas usai mengadakan persembahan pada Konsert ByAjai & Mega Friends baru-baru ini.

Biar hanya mendendangkan dua buah lagu, Ku Akui dan Tak Mungkin Kerana Sayang, Hafiz menemui semula semangat yang hilang apabila menerima ‘standing ovation’ daripada penonton.

“Sokongan dan semangat yang diberikan sangat besar ertinya buat saya,” kata Hafiz yang vokalnya masih padu seperti dahulu.

Berbicara mengenai ‘kehilangan’ daripada industri seni, Hafiz sebenarnya tiada rajuk.

Dia tidak pernah meninggalkan industri seni, sebaliknya hanya memilih untuk berehat buat sementara waktu.

“Saya tidak pernah kata saya ingin tinggalkan industri atau merajuk.

“Sebagai manusia biasa, saya juga ada masalah sendiri, jadi selepas 15 tahun menyanyi saya ambil masa berehat,” ujarnya.

KEUNGGULAN Hafiz sebagai antara penyanyi lelaki terbaik tanah air masih dapat dilihat dalam Konsert By Ajai & Mega Friends baru-baru ini.

Diajak berbicara isu tidak relevan yang pernah terbit daripada bibirnya, Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 34, bukanlah bermaksud sudah tiada tempatnya dalam industri.

Sebaliknya kata Hafiz, peningkatan usia dan kehadiran ramai penyanyi baharu menyedarkan dirinya tentang persaingan sengit yang perlu dihadapi jika mahu terus berjuang.

“Saya tidak pernah ke mana-mana, cuma kurang menonjol.

“Semakin bertambah usia, tenaga juga sudah tidak seperti dahulu. Saya harus terima hakikat bahawa saya kurang relevan berbanding zaman muda.

“Bukanlah cemburu dengan kejayaan penyanyi muda, itulah lumrah kehidupan. Realitinya secara tidak langsung menjejaskan sedikit karier saya,” tutur Hafiz.

HAFIZ kini hanya aktif dalam TikTok untuk berinteraksi bersama peminat

Ditebak, ke manakah menghilangnya Hafiz dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, malah luahan kecewanya terhadap karier dan kehidupan membimbangkan peminat tentang tahap kesihatan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Tambah lagi, rumah tangganya bersama isteri, Nureffy Jasreel juga didakwa berantakan dan tindakannya yang menyahaktif akaun Instagram menguatkan lagi spekulasi khalayak.

“Semasa orang kata saya hilang, hidup saya tidak sukar tetapi tidak berada dalam ‘mood’ baik.

“Waktu itu orang lihat saya seperti ‘meroyan’ pun ada. Tetapi saya perasan apa yang ‘aku’ buat ini? Kenapa saya perlu jadi begini. Saya juga manusia biasa, ada masanya rapuh.

“Jadi tempoh ‘rehat’ membuatkan saya semakin kenal diri. Saya nyahaktif Instagram kerana sokong Palestin. Saya hanya aktif dalam TikTok,” luahnya.

Perubahan bentuk fizikal Hafiz yang semakin kurus juga disalah erti, sehingga didakwa mengambil bahan terlarang.

“Orang lihat saya kurus bukan sebab saya hisap ‘batu’, dadah atau apa sahaja yang dituduh.

“Saya ada masalah slip disc sejak berusia 25 tahun (2016). Jadi doktor tidak menyarankan saya jalani pembedahan tetapi minta jaga pemakanan, berat badan dan bersenam.

BUAT julung kali, Hafiz bakal mengadakan konsert berskala besar di Dewan Hikmah, Kuching pada 13 Oktober depan khas untuk peminat di sana yang tidak pernah menyaksikan persembahan mega daripadanya sejak keluar daripada program Akademi Fantasia musim ke-10.

Hipokrit

Menetap di Kuching, Sarawak sejak dua bulan lalu, Hafiz mendedahkan, dia melakukan pelbagai aktiviti untuk menghiburkan diri sepanjang tempoh rehat ini.

Selain memancing, keputusan untuk kembali menetap bersama keluarga adalah keputusan tepat.

“Sudah lama saya asyik hiburkan orang, jadi kali ini saya ambil masa hiburkan diri sendiri dengan aktiviti yang disukai, antaranya memancing dan menyewakan bot memancing bersama kawan-kawan.

“Saya juga balik berjumpa ibu bapa dan andai ada kerja barulah saya akan terbang ke Semenanjung,” kata Hafiz.

Mengakui selepas 15 tahun bergelar penyanyi, dia kini lebih jujur dengan dirinya. Dia enggan bersikap hipokrit andai dikecam atau dibuli.

“Selama jadi artis saya hipokrit, banyak bermuka-muka depan orang dan lebih kepada memuaskan hati orang lain.

“Sekarang jika orang kecam atau buli saya di media sosial saya tidak akan berdiam diri.

“Saya juga manusia yang ada hati, perasaan dan rasa geram hendak membalas kata-kata mereka. Jika netizen bebas menulis apa sahaja, saya juga boleh jadi netizen (ketawa).

“Sekarang saya akan jadi diri saya sendiri di mana sahaja saya pergi termasuklah dalam media sosial,” ujar Hafiz.

“Jangan bimbang, saya akan terus menyanyi kerana inilah pekerjaan dan minat saya,” tuturnya menutup bicara.

HAFiZ berjanji akan terus menyanyi kerana itulah satu-satu pekerjaannya dari dahulu hingga kini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN