GEORGE TOWN – Kenaikan gaji yang bakal diumumkan esok turut memberi keyakinan kepada seorang penjawat awam untuk segera menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihan pada tahun ini.
Seorang pembantu am, Rushidi Ahmad, 36, berkata, pengumuman mengenai kenaikan gaji penjawat awam esok sememangnya ditunggu-tunggu.
Katanya, dia hanya bertugas sebagai pembantu am rendah sejak 2014 di sebuah klinik kerajaan dengan gaji sekitar RM1,800 sebulan.
“Pendapatan ini memang tak mampu untuk menampung perbelanjaan dengan pasangan jika berkahwin kerana banyak yang perlu ditanggung seperti sewa rumah dan hutang kereta. Gaji sedia ada memang cukup-cukup makan untuk saya seorang.
“Namun, pengumuman kenaikan gaji Jumaat ini (esok) telah membuka hati saya untuk segera mendirikan rumah tangga dalam usia yang hampir mencecah 40 tahun,” katanya.
Tambahnya, jika kenaikan kadar gaji baharu mencecah RM800 sebulan, ia sudah mencukupi untuk menyara kehidupan bakal isteri yang juga seorang penjawat awam.
Di Pasir Puteh, Kelantan, seorang anggota agensi keselamatan, Farizuddin Ahmad, 25, berkata, pengumuman gaji baharu itu memberi semangat kepada penjawat awam muda untuk meningkatkan integriti sepanjang menjalankan tanggungjawab.
“Saya berharap pengumuman Perdana Menteri pada Jumaat ini (esok) merupakan hadiah istimewa buat lebih 1.6 juta penjawat awam,” ujarnya.














