SORAKAN orang ramai bergema di ruangan penonton saat penunggang kuda itu melakukan lompatan sempurna untuk acara show jumping.
Sebahagian penonton memilih untuk berdiri di tepi balapan sambil merakam aksi sukan yang sering dikaitkan dengan golongan elit tersebut.
Bagi Norhafiza Hashim, pengalaman menonton ekuestrian buat pertama kali itu sememangnya membuka matanya tentang sukan berkuda.
Wanita berusia 37 tahun itu mahu melihat potensi dan ruang untuk anaknya, Hana Alisha menceburi sukan berkenaan pada suatu hari nanti.
“Saya sering bawa Hana Alisha main ‘joy riding’ sebab dia memang sukakan kuda. Untuk sertai sukan ekuestrian, saya fikir ia di luar kemampuan kita sebagai golongan kebanyakan.
“Harga seekor kuda sahaja sudah mahal, namun saya baru tahu bahawa ada cara sebenarnya jika kita mahu menyertai sukan ini,” katanya ketika ditemui di Festival Equine Putrajaya di Taman Ekuestrian Putrajaya baru-baru ini.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan anjuran julung kali oleh Kelab Kuda Istimewa (UNIK) bersama Oh!Ria Fest Management.
Penganjuran tersebut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Ekuestrian Malaysia, dengan kerjasama Putrajaya Leisures & Services Group Sdn. Bhd. (PULSE Group), Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA), Taman Ekuestrian Putrajaya serta Ekues Cabin Cafe.

Selain pertandingan dressage dan show jumping yang disertai atlet tempatan, festival itu juga menyediakan aktiviti bersesuaian dengan keluarga daripada pelbagai latar belakang.
Aktiviti lain yang diadakan termasuk ‘pony-ride’ dan ‘carrot time’ bersama kuda, demo lukisan abstrak, demo yoga dan persembahan selebriti tempatan.
Antara selebriti yang mengambil bahagian ialah Cat Farish, Ezi Shah, Pauf Yusuf, Lelon Line, Nazeera Sardi, Nur Amirah, Intan Shafinaz, AGV, Nad Zainal, Dani Kurama, Aizat Saha dan Reen Rahim.
Pengunjung juga boleh bertanyakan soalan berkenaan aktiviti-aktiviti berkuda yang ditawarkan di Taman Ekuestrian Putrajaya.
Uniknya, festival tersebut tidak mengenakan sebarang bayaran masuk, sekali gus membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk hadir merasai sendiri sukan berkuda.
Menurut Pengarah Pemasaran, Pengurusan Oh!Ria Fest, Mohamad Fauzi Md. Nor, cetusan idea yang menggabungkan festival dan acara ekuestrian itu tercetus setelah pihaknya mendapati terdapat streotaip tentang sukan berkuda di Malaysia.
“Sebelum ini, pertandingan sukan berkuda dianjurkan sama ada secara in-house (melibatkan ahli dalaman kelab) atau terbuka, tetapi hanya dihadiri ahli kelab yang terlibat.
“Oleh itu, buat pertama kalinya, kita gabungan dengan festival yang bersifat mesra orang ramai supaya masyarakat daripada pelbagai latar belakang boleh hadir tanpa rasa kekok,” katanya.
Berdasarkan lembaran sejarah, sukan berkuda memiliki kaitan dengan golongan diraja dan bangsawan.
Kemahiran menunggang merupakan ciri penting untuk kepimpinan dalam pertempuran.
Selain itu, memiliki baka kuda yang baik juga merupakan simbol kuasa dan status.
Biarpun sudah berabad berlalu, namun sukan tersebut kekal didominasi golongan atasan kerana kosnya yang tinggi.
Ini termasuk kos pemilikan kuda, kandang kuda, penjagaan haiwan berkenaan, latihan serta penyertaan kelab dan pertandingan.
Pada festival berkenaan, terdapat 90 ekor kuda dan 90 penunggang daripada kelab-kelab ekuestrian di serata Semenanjung Malaysia tampil mengambil bahagian dalam acara show jumping dan dressage.
Rata-rata atlet menjadikan kejohanan tersebut sebagai aksi pemanas badan menjelang kejohanan antarabangsa Piala Merdeka pada 23 hingga 25 Ogos ini.

Sementara itu, President UNIK, Zahari Senin berkata, penganjuran festival berkenaan mampu membantu perkembangan industri berkuda tempatan.
Ujarnya, aktiviti sukan berkuda menyediakan banyak peluang pekerjaan seperti jurulatih, pengurus kandang kuda, pengurusan kuda dan juru ladam.
“Apabila menyentuh soal ‘merakyatkan’ sukan berkuda, bukan bermaksud hanya tertumpu kepada melahirkan seorang atlet ekuestrian semata-mata.
“Ada banyak lagi cabang karier berkaitan kuda yang boleh dijadikan sumber rezeki.
“Semuanya bermula dengan belajar mendekati dan menunggang kuda dahulu,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, Taman Ekuestrian Putrajaya menawarkan pakej menunggang kuda kepada orang awam sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan ‘merakyatkan’ sukan berkenaan.
Selain peluang untuk melakukan ‘joyride’, pengunjung boleh menyertai kelas menunggang kuda yang terbahagi kepada tiga peringkat.
Pada peringkat asas, pakej bermula dengan harga RM650 yang melibatkan latihan keselamatan, penjagaan dan kawalan kuda serta tunggangan biasa. Sementara pada peringkat pertengahan, pakej bermula RM800 ditambah dengan kemahiran pergerakan kuda (walk, trot, canter) di kawasan kandang.
Manakala pada peringkat lanjutan, pakej bermula pada harga RM850 dengan tambahan kemahiran pergerakan kuda di kawasan trek dan pilihan untuk belajar asas show jumping, dressage atau endurance.
Sementara itu, Penolong Pengurus Operasi PULSE Group, Amerul Izuwan Abdul Halim berkata, pelajar hanya perlu hadir lapan sesi kelas dan segala hal berkaitan kuda diuruskan pihaknya.
“Kami sediakan kuda sehingga tahap advance.
“Sekiranya pelajar ingin lebih serius, mereka perlu sediakan kuda sendiri sama ada beli atau sewa daripada kelab masing-masing.
“Pihak PULSE akan sediakan fasiliti untuk disewa seperti ruang balapan bagi melakukan latihan,” katanya.














