PONTIAN – Operasi besar-besaran bagi menghapuskan gerakan pengganas komunis di Perak melalui Ops Daoyai Musnah dan Ops Selamat Sawadee pada tahun 1975 hingga 1979 kekal dalam ingatan Pegawai Waran 11 (B) Ab. Rahim Masek.
Menurut Ab. Rahim, 70, yang melalui kedua-dua operasi tersebut ramai rakannya di dalam platon Risik Gempur (UCIS) cedera apabila terpijak periuk api yang dipasang oleh komunis.
Katanya, pengganas komunis memasang banyak periuk api sebagai satu cara untuk menghalang kemaraan anggota keselamatan yang menggempur kawasan mereka siang dan malam.
“Ops Selamat Sawadee pada 1976 menyebabkan ramai anggota keselamatan cedera dan terbunuh termasuk rakan-rakan saya dari 9 Rajimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
“Ada juga yang putus kaki, putus tangan, hancur muka, terburai perut kerana terpijak periuk api yang dipasang di merata tempat oleh komunis di sempadan dengan Thailand,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dato’ Ali, Parit Sayang, Benut, di sini, baru-baru ini.
Tambah Ab. Rahim, pengganas komunis bukan sahaja mahir dalam penggunaan periuk api, malah menembak jatuh sebuah helikopter Nuri menyebabkan 11 anggota keselamatan terkorban.
“Memang dahsyat dan mengerikan pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas komunis yang sanggup melakukan apa sahaja cara untuk menewaskan kami,” ujarnya yang dikenali dengan panggilan ‘Bugis Benut’ ketika dalam anggota keselamatan.














