SEPANG – Sudahlah menceroboh dewan bedah hospital, malah lebih berani mengaku sebagai pegawai perubatan dan mahu membantu menjalankan pembedahan.
Itu lagak berani seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan polis di lobi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang di sini pukul 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, turut ditahan bersama suspek sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital berkenaan.
Beliau berkata, suspek ditahan susulan laporan dibuat kakitangan hospital berkenaan berkaitan seorang remaja perempuan tidak dikenali dalam dewan bedah yang mengaku sebagai pegawai perubatan.
“Dalam kejadian pukul 1 petang semalam, perempuan itu mahu menjalankan pembedahan dan pihak hospital hari berikutnya mengenal pasti kehadiran perempuan berkenaan iaitu individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu.
“Pihak hospital terus menghubungi pihak polis dan tangkapan dilakukan pada pukul 9 pagi tadi di lobi hospital tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 448 kanun keseksaan / 170 kanun keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar penjawat awam.
Jelasnya lagi, jika sabit kesalahan hukuman bagi menceroboh boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, manakala hukuman bagi menyamar penjawat awam, pemenjaraan dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Polis menasihatkan orang ramai tidak menimbulkan apa-apa spekulasi serta tidak berkongsi berita tidak benar berkenaan kejadian ini.
Sebelum itu, tular satu mesej di media sosial berhubung seorang remaja menyamar sebagai doktor tanpa disedari sesiapa. – KOSMO! ONLINE.