PUTRAJAYA – Jangan cuba tuntut itu dan ini sebaliknya memahami semangat yang telah terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.
Itu ingatan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada rakan dalam komponen parti kerajaan berhubung polemik pemilihan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO setakat ini belum duduk dan berbincang bagi memuktamadkan calon PRK DUN Mahkota itu.
“Kita belum duduk dan berbincang pun, jadi saya fikir kita mesti menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan dan bukannya tuntut itu dan ini.
“Sila hormati kalau kerusi tu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi tu akan diberikan kepada parti berkenaanlah…bukan tuntut itu dan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Simposium Luar Bandar Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, masih terlalu awal untuk keluarkan apa-apa kenyataan mengenai calon PRK itu namun, atas semangat perpaduan ia perlu dilakukan atas kesepakatan kerajaan negeri dan kepimpinan pusat terlebih dahulu.- KOSMO! INLINE