JOHOR BAHRU – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan melakukan culik, pengurungan salah dan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan serta memiliki bahan lucah, bulan lalu.
Tertuduh, Leang Win Son, 31, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rasidah Roslee dan Siti Noraida Sulaiman.
Di hadapan Hakim Rasidah, anak tunggal itu didakwa menculik seorang kanak-kanak berusia 6 tahun, kira-kira pukul 8.30 malam di Eco Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani, Iskandar Puteri pada 20 Julai 2024.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Manakala pertuduhan lain, Win Son dituduh dengan niat membuat pengurungan salah ke atas mangsa yang sama pada pukul 4.45 pagi di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Mahagoni 9, Perniagaan Jalan Mahagoni, Batang Kali, Hulu Selangor, pada 23 Julai 2024.
Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 346 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun , jika sabit kesalahan.
Manakala di hadapan Hakim Siti Noraida pula, lelaki yang masih bujang itu didakwa enam pertuduhan mengumpul dan memiliki sebanyak 5,347 gambar, video serta bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam kad SSD dan cakera keras selain amang seksual terhadap seorang kanak-kanak.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumahnya yang terletak di Taman Sri Kulai, Kulai pada pukul 4 petang, 24 Julai 2024 dan di sebuah bilik hotel bajet di Batang Kali, Hulu Selangor antara pukul 12.30 tengah hari, 22 Julai hingga pukul 4.45 pagi, 23 Julai.
Pertuduhan itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8(b), Seksyen 10 dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Kes pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam Nur Zafirah Norizan dan Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil.
Dua mahkamah menetap jaminan sebanyak RM50,000 terhadap kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Tertuduh juga diarah supaya tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.
Pada 20 Julai lalu, seorang kanak-kanak perempuan disedari hilang oleh ahli keluarganya pada pukul 8.30 malam ketika mereka berada di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini.
Suspek ditahan pada 23 Julai selepas Polis Johor berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu yang berada di sebuah hotel murah di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor selepas tiga hari diculik.-KOSMO! ONLINE