BERKEMUNGKINAN menjadi persembahan selamat tinggal, Loudness World Tour 2024 – Greatest Ever Heavy Metal Live In Malaysia yang bakal berlangsung pada 14 September ini seharusnya tidak dilepaskan.
Band ikonik asal Osaka, Jepun yang lebih lima dekad menjadi idola ramai termasuk kumpulan rock tempatan itu memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai gelanggang perhimpunan dengan peminat tegar.
Direalisasikan Rockstage Entertainment, kali terakhir Minoru Niihara (penyanyi), Akira Takasaki (gitar), Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram) berkunjung ke negara ini adalah lima tahun lalu.
Pengurus Rockstage Entertainment, Talib Othman berkata, menghampiri tarikh itu, segala persiapan sudah disempurnakan bagi menyaksikan aksi gemilang yang pastinya mencetuskan memori indah buat khalayak.
“Pasukan kami akan memastikan penonton terhibur kerana kami bukan hanya memenuhi permintaan peminat Malaysia bahkan ramai pembeli tiket dari Jepun, Thailand, Singapura dan Brunei juga enggan melepaskan peluang menjadi saksi persembahan band legenda ini.
“Lokasi berprestij Zepp Kuala Lumpur, menjanjikan aksi serba sempurna dan terkini sekali gus bakal meninggalkan kesan mendalam untuk terus dikenang peminat Loudness.
“Kedatangan mereka juga mungkin untuk kali yang terakhir di sini sebelum memilih bersara berikutan faktor usia,” katanya.

Bagi memastikan perjalanan konsert lancar dan memenuhi kepuasan, kata Talib, penataan bunyi dan cahaya menjadi elemen utama yang diberikan fokus selain pemilihan repertoire lagu.
“Kedatangan mereka kali ini adalah kali terakhir sebelum mereka bersara tidak lama lagi dan sebagai hadiah, kami menjangkakan sebanyak 20 buah lagu bakal dipersembahkan.
“Sebahagian dari jumlah lagu dipilih saya sendiri bagi memastikan menepati selera peminat nanti. Saya percaya mereka yang hadir pasti terhibur.
“Begitu juga dengan sistem bunyi dan cahaya memandangkan semua elemen tersebut yang menjadikan aksi Loudness hidup,” ujarnya.
Ketika era kegemilangan muzik rock di Malaysia pada 1980-an, nama Loudness tidak lekang daripada bibir pendengar tempatan.
Antara seleksi lagu yang menjadi siulan Crazy Nights, Like Hell dan Heavy Chains daripada album Thunder in the East selain Black Wall, Let It Go, Rock & Roll Gypsy, So Lonely, Rock This Way, Esper, Sun Will Rise Again, Metal Mad, In The Mirror, Crazy Doctor dan S.D.I.
Tarikan utama persembahan Loudness nanti tentu sahaja kental dengan imej pemain gitarnya, Akira yang juga pengasas band terbabit, begitu juga Masayuki yang menggantikan Munetaka pada 2009.
Bukan sahaja menampilkan permainan dram yang hebat, penampilan bertubuh sasa dan berjanggut panjang membuatkan Masayuki kelihatan seperti pahlawan samurai.
Band yang mencetuskan revolusi ‘rock timur’ itu pernah beraksi di Kuala Lumpur pada 2011 iaitu di KL Live diikuti Festival Sound Valley di MAEPS Serdang (2017) dan terakhir di The Bee Publika pada 2019.
Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada sejarah persembahan terakhir Loudness di negara ini boleh layari laman web myticketempire.com. – KOSMO! ONLINE