KUALA LUMPUR – Keluarga mendiang Soosaimanicckam Joseph bersama 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Lawyers For Liberty (LFL) bertindak menyerahkan memorandum bantahan di Bukit Aman, berkait kegagalan polis untuk membuka siasatan homisid (pembunuhan).
Penyerahan memorandum itu mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain agar menyiasat semula kes kematian mendiang ketika menjalani Latihan Pegawai Kadet Graduan Angkatan Tentera Laut Diraja (TLDM) di Lumut, Perak, pada 19 Mei 2018.
Peguam LFL, Zaid Abd Malek berkata, tuntutan itu dikemukakan pada pukul 10.45 pagi tadi kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ditemani ahli keluarga mendiang Soosaimanicckam.
Katanya, pada 29 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh dalam rayuan jenayah telah memutuskan bahawa kematian mendiang berusia 27 tahun itu adalah disebabkan oleh homisid iaitu beliau telah dibunuh akibat Tindakan langsung pegawai pengendali Latihan TLDM.
“Rentetan keputusan itu keluarga mendiang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya pada 1 Ogos lalu, menuntut siasatan pembunuhan kepada polis susulan keputusan kehakiman oleh mahkamah tinggi tersebut.
“Malangnya, sehingga hari ini kami mendapati keluarga mendiang tidak dihubungi oleh mana-mana polis serta tidak dimaklumkan sama ada siasatan untuk laporan polis terbaharu itu dimulakan, tindakan lanjut dimulakan atau sebaliknya yang mana kegagalan polis mengambil serius perkara ini.
“Oleh demikian, kami hari ini ambil langkah pertama menyerahkan memorandum yang disokong 29 NGO ditujukan kepada KPN agar memulakan siasatan kematian Soosaimanicckam di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh dan atau 304 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan cuai menyebabkan kematian oleh pasukan dari Bukit Aman sendiri,’ katanya ketika ditemui pemberita.
Zaid juga mahu satu pasukan siasatan bebas dilantik oleh PDRM untuk menjalankan siasatan tersebut secara serius dan menyeluruh.
“Pihak keluarga mendiang terpaksa menjalani proses inkues agak lama iaitu lebih enam tahun akhirnya mendapat jawapan persoalan mereka iaitu kenapa anaknya boleh meninggal dunia secara tiba-tiba dalam tempoh seminggu selepas sertai akademi latihan.
“Kita mahu siasatan yang dijalankan diberi pertimbangan sewajarnya kepada keputusan homisid yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.
“Kita mahu PDRM melaporkan hasil perkembangan siasatan dikomunikasikan kepada pihak keluarga untuk memastikan ketelusan dalam siasatan,” ujarnya.
Sementara itu, abang kepada mendiang, Charles berkata, beliau mahu PDRM membela dan memberikan keadilan atas kematian adiknya dengan mengheret pelaku ke muka pengadilan.
“Bayangkan saya yang menghantar dia ke pusat akademi Latihan TLDM itu pada Sabtu tetapi pada Sabtu berikutnya terima berita kematian adik saya.
“Kami sebenarnya mahukan keadilan dan bagaimana kami nak menghantar anak saya nanti untuk berkhidmat kepada negara menyertai TLDM jika tiada keyakinan, maka saya berharap polis akan membantu mendapatkan keadilan sewajarnya untuk kami sekeluarga yang menanti selama tujuh tahun,” katanya. -KOSMO! ONLINE.














