KUALA LUMPUR – “Saya tidak tahu dan tidak mahu komen banyak.”
Demikian ulas pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengenai video bekas suaminya, Aliff Aziz kembali mendalami agama bersama tabligh yang tular aplikasi TikTok baru-baru ini.
Sudah tidak lagi bergelar isteri kepada anak seni kelahiran Singapura itu, Bella enggan terlalu bercerita tentang seseorang yang kini sudah menjadi sejarah dalam hidupnya.
“Saya tidak tahu mengenai hantaran yang tular di TikTok sebagaimana yang diperkatakan.
“Sebab itu adalah perjalanan hidupnya. Lagipun kita tidak tahu apa niat sebenar seseorang itu. Kalau betul berubah, alhamdulillah.
“Sekiranya dia mahu berubah ke arah yang lebih baik, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik saja,” katanya pada sidang media Konsert Jiwa Malaysia 2024 di Pavilion Bukit Jalil di sini sebentar tadi.
Terdahulu, tular sebuah video memperlihatkan Aliff Aziz dilihat bersama-sama dengan kumpulan tabligh baru-baru ini.
Menerusi sepotong video yang dikongsikan oleh Ustaz Haji Taufik di TikTok, Aliff yang dilihat mengenakan serban putih berada di salah sebuah masjid di Singapura.
Dalam perkongsian sama, Ustaz Haji Taufik turut meninggalkan pesan agar orang ramai tidak mudah meletakkan hukum sesama manusia.
Untuk rekod, Aliff pernah mengikuti jemaah tabligh sekitar Ogos 2021 selepas bercerai kali pertama.
Sementara itu, Bella menjadi satu-satunya penyanyi solo yang akan membuat persembahan pada Konsert Jiwa Malaysia 2024 yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 7 September depan.
Selain Bella, penyanyi lain yang turut membuat persembahan adalah Bunkface, Dolla, Ruffedge, Spider, Insomniacks dan Hujan.
Tiket konsert yang berharga serendah RM90 sehingga RM120 boleh didapati menerusi laman web, https://ilassotickets.com.