KUALA LUMPUR – Attana Hotels & Resorts Sdn. Bhd. (AHR), anak syarikat hospitaliti Permodalan Nasional Berhad (PNB), telah menerima enam anugerah berprestij pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024 di sini baru-baru ini.
Anugerah yang diperoleh AHR adalah untuk Pengurusan Hotel dan Hartanah Terbaik; Hotel Bandar Keluarga Terbaik untuk Perdana Kuala Lumpur City Centre (PKLCC); Hotel Terbaik Bandar di Pantai Timur dianugerahkan kepada Perdana Kota Bharu (PKB).
Selain itu, Espira Kinrara memenangi Hotel Perniagaan Tiga Bintang Terbaik; Villea Port Dickson (VPD) dianugerahkan sebagai Resort Mesra Alam Terbaik manakala Anugerah Lokasi Golf Terbaik pula dinobatkan kepada Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC).
Ketua Pegawai Operasi AHR, Ron Hasni Yusoff berkata, anugerah ini mengiktiraf AHR atas kemudahan yang cemerlang dan standard perkhidmatan luar biasa yang ditonjolkan.
Menurut beliau, anugerah itu juga menghargai AHR bukan sahaja sebagai kumpulan hotel kontemporari terkemuka, pengendali resort dan penyedia kelab golf tetapi juga menunjukkan komitmennya untuk meningkatkan pengalaman tetamu.
“Ia adalah bukti keupayaan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penginapan kelas premium, menawarkan hospitaliti terbaik, perkhidmatan dan tempat makan terbaik secara bertanggungjawab dari segi ekologi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah Ron Hosni, anugerah tersebut juga bakal menjadi pemacu kepada kakitangannya untuk meningkatkan lagi tahap perkhidmatan kepada pelanggan, terutamanya dalam usahanya mengutamakan kemampanan di bawah program tanggungjawab sosial kumpulan, Sayang Earth.
“Pengalaman kami yang direka terhadap hospitaliti Malaysia daripada penginapan hingga masakan adalah apa yang membezakan kami dengan pesaing,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE