TINJAUAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lalu menunjukkan 4.6 peratus daripada rakyat negara ini yang berusia 15 tahun ke atas memiliki gejala kemurungan.
Berdasarkan tinjauan tersebut, golongan tertinggi yang berisiko mengalami masalah kemurungan tersebut berumur dalam lingkungantelefon pintar
16 hingga 29 tahun.
Majoriti mereka merupakan generasi Z yang sebahagian besar kehidupannya amat bergantung dengan teknologi digital terutama telefon pintar.
Media sosial pula menjadi platform utama untuk golongan tersebut bersosial dan berhubung.
Sekiranya interaksi dengan media sosial berkenaan tidak dikawal dengan baik, mereka bukan kehilangan kemahiran keinsanan bersosial secara bersemuka malah berisiko terdedah dengan isu buli siber.
Sikap gemar membandingkan diri dengan kesempurnaan orang lain yang digambarkan dalam media sosial juga boleh mencetuskan isu kesihatan mental seperti kemurungan.
Maka tidak hairanlah penyakit mental kini menjadi masalah kesihatan utama selepas serangan jantung.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, perkembangan tersebut amat membimbangkan kerana masalah kemurungan dalam kalangan generasi muda didapati telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun ini.
Tambah merisaukan, beliau berkata, tinjauan sama mendapati sebahagian mereka yang kemurungan itu mengakui mempunyai niat untuk mencederakan diri termasuk membunuh diri.
“Ia selari dengan Tinjauan Kesihatan Remaja 2023 dilakukan Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan yang mendapati 18 peratus remaja kemurungan terbabit berniat untuk membunuh diri.
“Sebagai perbandingan cuma 10 peratus golongan sama berniat begitu pada tahun sebelumnya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kasemani berkata, antara punca gangguan mental dalam kalangan generasi muda berkenaan ialah masalah rakan sebaya dan keluarga, tekanan akademik dan penggunaan media sosial yang tidak terkawal.
Beliau berkata, isu kesihatan mental yang semakin meruncing dalam kalangan generasi muda terbabit perlu ditangani dengan sebaiknya.
“Mereka amat memerlukan sokongan keluarga yang kuat untuk mengharungi masalah kesihatan mental ini.
“Keluarga merupakan institusi penting yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat sejahtera,” katanya.
Kasemani berkata, kebanyakan isu kesihatan mental dalam kalangan generasi muda juga disebabkan kurangnya komunikasi terutama dengan keluarga masing-masing.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Profesionalisme Pendidikan), Shafruddin Ali Hussin pula mengakui isu kesihatan mental dalam kalangan murid dan pelajar kian mencabar profesion perguruan.
Beliau berkata, murid dan pelajar terbabit dikhuatiri akan melakukan tindakan yang membahayakan keselamatan mereka sekiranya isu tersebut tidak ditangani sebaiknya,
“Golongan pendidik khususnya guru bimbingan dan kaunseling disaran menggandakan lagi interaksi dengan murid dan pelajar bagi menangani cabaran ini. Kita perlu lebih peka dan bertindak pantas membantu mereka mengatasi masalah tersebut,” katanya.














