fbpx
ANTARA kes-kes orang hilang yang dilaporkan Kosmo!.

Salah siapa kalau anak, suami hilang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kebelakangan ini, banyak sangat kes dilaporkan membabitkan kisah orang hilang. Ada yang hilang untuk tempoh kurang 24 jam, tetapi ada juga hilang sejak berbulan dan bertahun lamanya.

Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes orang hilang yang dilaporkan adalah sebanyak 900 kes setiap tahun. Daripada jumlah itu, peratusan yang ditemui adalah 85 hingga 90 peratus.

Ini bermakna, anggaran orang hilang yang masih belum ditemui setiap tahun adalah sekitar 90 hingga 140 orang.

Ironinya, kes orang hilang ini tidak hanya melibatkan kanak-kanak, tetapi merentasi usia dan jantina. Ini termasuklah dalam kalangan lelaki berstatus suami.

Banyak sebenarnya faktor dan punca yang boleh dikaitkan dengan kes orang hilang. Ada yang berunsur jenayah seperti kes penculikan dan pembunuhan.

Selain itu, ada juga kes orang hilang yang berpunca daripada masalah peribadi dan keluarga.

Bagi kes melibatkan kanak-kanak dan remaja, kebanyakan yang dilaporkan hilang adalah melibatkan anak gadis dan remaja perempuan. Kes-kes sebegini banyak dikaitkan dengan kejadian lari dari rumah.

Sebenarnya, ada beberapa faktor yang mendorong seseorang anak untuk bertindak lari dari rumah. Alasan paling popular adalah disebabkan keinginan untuk hidup bebas selain masalah dalam keluarga, pengaruh rakan dan lari mengikut kekasih.

Namun, ada juga kes yang mengejutkan apabila anak yang dilaporkan hilang itu rupanya menjadi mangsa jenayah. Lebih memeritkan lagi apabila kes jenayah itu berakhir dengan kematian yang cukup tragis.

Kisah sebegini sangat meruntun jiwa terutama dalam kalangan ahli keluarga dan kes sebegini banyak dilaporkan terutama membabitkan kanak-kanak dan mangsa wanita.

Sesuatu yang mengejutkan apabila kes orang hilang turut membabitkan suami dan isteri orang. Ada suami mahupun isteri yang sengaja ‘menghilangkan’ diri atas alasan-alasan tertentu.

Bagi kes seperti ini, ia banyak dikaitkan dengan masalah keluarga dan kewangan sehingga si suami atau isteri lari meninggalkan rumah. Mungkin ada juga yang memilih untuk sengaja menghilangkan diri kerana telah berkahwin lain.

Apapun alasannya, kes suami atau isteri hilang tidak boleh dipandang mudah. Sudah banyak kes kehilangan yang dikaitkan dengan unsur jenayah membabitkan kes hutang ataupun dendam.

Apapun, setiap masalah boleh diselesaikan dengan cara yang baik. Jika ia melibatkan masalah suami dan isteri, carilah titik perdamaian demi keselamatan anak-anak.

Tanggungjawab bagi menoktahkan kes-kes orang hilang ini adalah tanggungjawab semua. Kita tidak mahu lagi ada kisah-kisah sedih yang menggemparkan dan mengejutkan negara. Sebaliknya, biarlah rakyat disajikan dengan kisah gembira dan kejayaan anak-anak Malaysia.

Kita juga perlu sedar bahawa segala masalah yang berlaku dalam masyarakat ketika ini sebenarnya bermula dari rumah.

Justeru, jagalah keluarga dan hargailah insan tersayang yang ada di sekeliling kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN