fbpx
BERGELAR suami pada usia selayaknya, pelakon dan pengacara Sean Lee mengakui sedang berada dalam fasa paling bahagia dalam kehidupannya.

‘Baru faham hangatnya nikmat perkahwinan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK sampai sebulan bergelar suami kepada model jelita, Bay Doucet, pelakon dan pengacara popular Sean Lee mengakui menyesal tidak mengambil cuti yang panjang untuk meraikan perkahwinannya tempoh hari.

Menurut Sean Lee atau nama sebenarnya, Sean Lee Jia Ern, 30, selepas majlis perkahwinannya pada 7 Julai lalu, dia dan isteri langsung tidak berkesempatan berbulan madu kerana kepadatan jadual kerjanya.

“Saya menyesal sebenarnya tidak ambil cuti yang panjang untuk berbulan madu selepas berkahwin.

“Sekarang baru saya rasa perasaan manis, bahagia dan sentiasa ingin menghabiskan masa bersama dengan isteri. Baru sekarang saya faham hangatnya nikmat perkahwinan.

“Sebabnya saya hanya mengambil cuti selama dua hari sahaja untuk perkahwinan. Itu pun diisi dengan pelbagai agenda majlis perkahwinan, selepas itu saya terus bekerja, tiada langsung masa untuk bercuti dengan isteri,” kata Sean.

Sungguhpun begitu, Sean tidak menyalahkan mana-mana pihak memandangkan dia sendiri memutuskan untuk merahsiakan perkahwinan tersebut. Atas sebab itulah, jadual kerjanya harus berjalan seperti biasa.

SEAN memilih untuk berhati-hati setiap kali bersiaran dalam televisyen, namun agak lantang jika menerusi  program audio siar. – M FIRDAUS M JOHARI & INSTAGRAM SEAN LEE

“Saya tidak boleh salahkan orang lain sebab tiada orang tahu saya akan berkahwin pada tarikh tersebut,” jelasnya lagi yang bercinta secara sembunyi selama lapan tahun sebelum berkahwin.

Tidak mahu ketinggalan mencipta memori manis bersama isterinya, Sean merancang untuk berbulan madu di Eropah pada penghujung tahun ini.

“Saya merancang untuk bercuti hujung tahun ini, boleh dikira sebagai bulan madu kami. Lokasi impian saya adalah Eropah dan saya mahu percutian kembara secara backpacker.

“Bagi saya percutian secara backpacker lebih menyeronokkan dan boleh mencipta banyak memori, bayangkan jika kami tersesat bersama? (ketawa).

“Perkara seperti itu yang akan lebih mengeratkan hubungan kami,” luah Sean.

Hidup sebagai suami memberi satu kebahagiaan tidak terjangka

Anak

Biarpun tidak sempat berbulan madu dek kepadatan jadual kerjanya, bintang drama Kiblat Ke Syurga itu bersyukur kerana rezekinya semakin mencurah-curah.

“Saya percaya tentang rezeki selepas berkahwin. Pada waktu saya sibuk hendak berkahwin saya mendapat tawaran sebagai pengacara program Gimme The Mic bersama Sherry Alhadad.

“Setiap minggu saya akan muncul dalam televisyen, saya juga baru mendapat tawaran lakonan untuk filem pertama. Judul masih dirahsiakan, apapun ini orang kata rezeki lepas berkahwin,” ujarnya.

Bercakap tentang cahaya mata dalam kekecohan trend perkahwinan bebas anak atau child free, Sean dan isteri sememangnya mengimpikan untuk memiliki anak sendiri.

Namun, sedar akan tanggungjawab yang begitu besar harus dipikul sebagai ibu bapa, Sean mahu memiliki anak dalam keadaan bersedia.

“Kami memang inginkan anak sendiri. Tetapi kita masing-masing faham dengan situasi kerja yang sibuk pada masa sekarang.

“Jujur, untuk ada anak bukan satu benda yang ringan. Anak adalah satu tanggungjawab yang besar, tidak boleh mahu ada anak selepas itu tidak boleh untuk jaga.

“Bagi saya perkara itu tidak betul. Jadi, kami tidak mahu beri tekanan kepada diri masing-masing. Buat masa ini nikmati kehidupan berdua semaksima yang mungkin sebelum kami memutuskan untuk ada anak pada masa depan,” kata Sean.

SEAN dan isteri mahu bercuti dan berbulan madu di Eropah sekitar hujung tahun ini.

Karier

Menyambung bicara tentang karier seninya, selepas lebih sedekad Sean dilihat lebih menyerlah sebagai pengacara berbanding pelakon.

Mengakui perkara tersebut, Sean bagaimanapun tidaklah meletakkan titik noktah dalam kerjaya lakonannya sebaliknya kini bersikap lebih selektif.

“Sekarang memang saya lebih kepada pengacaraan kerana saya suka bercakap. Tetapi lakonan masih merupakan cinta pertama saya dalam bidang seni.

“Cuma saya harus bersikap selektif kerana tidak mahu peminat bosan melihat saya asyik membawa watak yang sama berulang kali,” kata Sean.

Sebagai anak seni, Sean mahu dilihat sebagai seorang pelakon yang versatil. Oleh demikian, dia kini menanti skrip yang benar-benar menarik sebelum memutuskan untuk terlibat dalam sebarang drama.

SEAN sengaja memilih merahsiakan perkahwinannya baru-baru ini.

“Saya tidak mahu orang lihat saya hanya mampu bawa watak dan karakter yang sama sahaja. Bukan sahaja penonton bosan, saya sendiri pun akan bosan juga.

“Jadi, biarlah saya fokus pada pengacara dahulu, jika ada skrip yang sangat menarik saya akan kembali berlakon,” tuturnya.

Selain itu, Sean juga merancang untuk memiliki program podcastnya sendiri. Ditebak apakah perbezaan program podcastnya berbanding lambakan podcast yang berada di pasaran?

Jawab Sean, podcastnya bakal berbeza kerana keberanian membincangkan topik yang ‘taboo’ dan menyentuh pelbagai permasalahan yang berlaku dalam negara.

“Sebagai pengacara, siaran televisyen banyak yang harus ditapis, tetapi untuk podcast saya akan membawa topik yang orang tidak berani hendak cakap.

“Bagi saya untuk sesebuah negara maju adalah bercakap tentang masalah yang kita hadapi.

“Idea saya bukanlah mahu buat orang marah atau bergaduh tetapi berbincang tentang masalah yang kita semua hadapi secara berhemah,” jelas Sean tentang saluran podcast yang akan dilancarkan sekitar hujung tahun nanti.

SEAN tidak setuju dengan amalan ‘child free’ sebaliknya mahu memiliki anak dari darah daging sendiri.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN