fbpx
Gambar hiasan

Wanita kecewa gagal jadi isteri kedua kekasih lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI kaum wanita, perkataan penyondol yang merujuk kepada individu merampas kekasih atau suami orang lain adalah gelaran cukup dibenci. Kebanyakan mereka akan mengelak daripada melakukan perkara yang menyebabkan mereka digelar penyondol.

Begitu pun, bagi Ana (bukan nama sebenar), dia tidak kisah jika digelar penyondol kerana hasratnya adalah untuk berkahwin dengan cinta pertamanya yang dikenali sebagai Zul (bukan nama sebenar) yang cukup disayanginya.

Memulakan bicara, Ana memberitahu bahawa dia dan Zul berkenalan sejak belajar di sebuah universiti di ibu kota.

Perkenalan yang bermula daripada seorang rakan, akhirnya menimbulkan bibit-bibit cinta, sehingga masing-masing berhasrat untuk terus melangsungkan perkahwinan sebaik sahaja memasuki alam pekerjaan kelak.

“Zul sangat sayangkan saya dan berjanji mahu berkahwin selepas kami berdua sudah bekerja.

“Begitu pun, apa yang dirancang itu tidak terlaksana apabila hubungan kami ditentang bapa saya yang tidak berkenan dengan beberapa sikap Zul seperti panas baran dan agak kurang sabar, selain meragui jika lelaki itu mampu menjadi suami yang baik buat saya nanti.

“Apatah lagi selepas bapa mendapat tahu bahawa saya dan Zul sudah begitu kerap terlanjur dan hidup bagaikan pasangan suami isteri sejak belajar lagi,” kata Ana.

Biarpun sudah meminta maaf dan mengakui kesilapan mereka ketika sedang kemaruk bercinta, bapa Ana tetap juga menghalang hubungan itu, menyebabkan hati Ana tertutup buat lelaki lain.

Hubungan mereka akhirnya terpaksa diputuskan dan Zul kemudiannya berpindah ke Negeri Sembilan selepas mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta di sana.

Zul dan Ana bagaimanapun masih sesekali berhubungan kerana masih sayangkan antara satu sama lain.
Begitu pun, Ana kemudiannya ternyata dikecewakan apabila dia mendapat tahu bahawa Zul bakal berkahwin dengan wanita lain.

Pilihan hati Zul yang baharu itu merupakan seorang kenalan lamanya yang turut berpindah bekerja di negeri sama.

“Mereka akhirnya menjalin hubungan cinta dan mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Zul juga sudah benar-benar mahu melupakan saya dan memberitahu bahawa hubungan kami tidak boleh dipulihkan memandangkan bapa saya masih enggan menerima Zul,” luah Ana.

Patah hati yang dirasai Ana berlarutan sehingga wanita itu kehilangan berat badan yang mendadak, selain mengalami kemurungan.

Biarpun tahu bakal sakit hati apabila melihat kebahagiaan Zul bersama isterinya itu, namun Ana tetap juga menyeksa dirinya dengan sengaja melihat foto-foto kahwin Zul yang dikongsi di Instagram.

Biarpun masih sedih, Ana sedar dia perlu meneruskan hidup seperti biasa.

Namun, satu hari, Ana terserempak dengan Zul di sebuah kedai makan dan mereka sempat berbual panjang.

“Saya akui, saya rasa cukup bahagia apabila bertemu Zul dan entah mengapa, sejak dari pertemuan itu, saya bagaikan dirasuk dan nekad untuk merampas Zul daripada isterinya.

“Saya rela digelar penyondol, jika itu mampu memberi kebahagiaan kepada saya,” dedah Ana.

Bagi Ana, Zul adalah cinta matinya dan hanya Zul seorang yang pernah ‘menyentuhnya’, menjadikan dia benar-benar mahu menjadi isteri kepada lelaki itu.

Ana mula menggoda Zul semula dan Zul sedikit sebanyak goyah jua, memandangkan rasa sayangnya kepada Ana masih ada.

Mereka kemudian menjalin hubungan terlarang dan Ana akui dia cukup bahagia.

Selepas hampir setahun menjalin hubungan rahsia bersama Zul, Ana terus mendesak lelaki itu untuk menjadikannya sebagai isteri kedua.

Zul bagaimanapun kelihatan teragak-agak, kerana mengakui amat menyayangi isterinya. Dia juga sudah berjanji tidak akan menyakiti hati wanita itu dan tahu bahawa isterinya, Syifa (bukan nama sebenar) akan meminta untuk diceraikan jika Zul berhasrat mahu berkahwin lain.

“Zul beritahu saya, dia tidak sanggup menceraikan Syifa kerana ikhlas sayangkan wanita itu dan hanya mahu kami berdua kekal sebagai ‘skandal’.

“Saya jadi cukup marah kerana menyangka Zul akan serius mahu memperisterikan saya selepas pertemuan semula kami.

“Biarpun sudah berkali-kali memberitahu Zul bahawa saya sanggup digelar penyondol asalkan dapat hidup bersamanya, Zul tetap juga menolak ajakan saya.

“Hati saya dihancurkan lagi entah untuk kali ke berapa,” kata Ana.

Ana sama sekali tidak menyangka, pertemuan semula antara dia dan Zul bukanlah peluang kedua untuk dia bahagia, sebaliknya ia adalah ujian yang cukup berat.

“Saya sedih kerana biarpun selepas sanggup menjatuhkan maruah sendiri, Zul yang kononnya amat menyayangi saya itu tetap juga enggan menikahi saya.

“Biarpun sukar terima hakikat itu, saya terpaksa akur kerana hidup perlu diteruskan,” ujar Ana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN