fbpx
Kediaman didominasi rona tanah menyerlah dengan percikan rona terang seperti kuning.

K2

Elemen tropika serikan dekorasi kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERCIKAN rona terang pada sebuah kediaman yang didominasi rona-rona tanah mampu menyuntik satu suasana berbeza pada keseluruhan ruang.

Rona seperti kuning atau jingga biarpun hanya digunakan pada hiasan kecil dalam rumah, mampu menjadikan sesebuah ruang tampil ceria dan lebih bermaya.

Bagi pasangan suami isteri yang menetap di sebuah kediaman di Seremban, Negeri Sembilan, bunga orkid kuning dipilih sebagai item penyeri ruang, sekali gus menyuntik suasana tropika pada dekorasi.

Amira Alia Mohd. Khairi, 28, dan juga suami, Muhammad Asyraf Mubarak, 28, menggabungkan perabot-perabot sedia ada pada kediaman, yang kemudian diserikan dengan hiasan dalaman sesuai cita rasa sendiri.

“Bagi konsep rumah pertama kami ini, kami memilih konsep moden tropika dan juga sedikit mix and match dengan perabot sedia ada.

“Tropika yang dimaksudkan adalah apabila saya meletakkan bunga orkid kuning bagi menaikkan seri ruang kediaman,” ujar Amira.

Saat kaki melangkah masuk, paduan rona-rona tanah seperti coklat cair dan putih menerpa anak mata, sekali gus mewujudkan suasana tenang.

Susun atur perabot yang serba ringkas juga mencipta suasana minimalis dan selesa pada ruang kediaman.

Memandangkan Amira sebelum ini pernah bekerja di sebuah kedai bunga, dia cukup sukakan bunga orkid dan memilih bunga tersebut daripada rona kuning terang untuk dihias pada kediamannya.

Hasilnya, ruangan kediaman kecilnya itu tampil segar dan cukup menyerlah elemen tropika.

Amira juga memberitahu dia banyak mencari sendiri barang-barang hiasan rumah daripada kedai-kedai seperti IKEA, SSF Home, Shopee, DIY dan juga Eco Shop.

Bagi seni menghias rumah pula, dia banyak belajar daripada ibunya yang turut berkongsi minat sama dalam hiasan rumah.

“Saya sudah lama mengimpikan untuk mempunyai rumah sendiri dan memandangkan ibu amat suka menghias rumah, saya banyak belajar daripadanya,” katanya.

Berkongsi tentang ruang kegemarannya pula, Amira memberitahu bahawa ruang tamu merupakan ruang paling disukainya pada kediaman tersebut.

Ini kerana, di situlah dia paling banyak menghabiskan masa bersama suami dan juga anaknya yang masih kecil.

Menjengah ke ruang makan keluarga, Amira memilih rona yang sama seperti yang digunakannya pada ruang tamu bagi mencipta kesenadaan.

Jika dilihat, ruangan dapur didominasi warna coklat lembut, dengan hiasan serba ringkas bagi mengelak ia nampak serabut.

Pada sudut itu juga, Amira meletakkan beberapa dekorasi kecil seperti pokok tiruan bagi menyuntik elemen semula jadi dan mengelakkan ia tampak terlalu kosong.

Ujar Amira, biarpun mempunyai ruang yang terhad pada kediaman jenis apartmen itu, dia tetap berpuas hati kerana mampu menterjemahkan konsep idaman pada kediaman tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN