fbpx
Penolong Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Nur Elayni Borhan pernah bercita-cita menjadi pramugari.

‘Adrenalin’ cemas Dr. Elayni, doktor cantik ‘pakar’ CPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKITAR 15 tahun lalu atau lebih tepat lagi tahun 2009, wanita aktif dan cantik ini memulakan kerjayanya dalam bidang perubatan.

Dia mula menimba pengalaman sebagai seorang doktor perubatan ketika menjalani housemanship di Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor.

Bertitik tolak dari situ jugalah dia mula didedahkan dengan pelbagai pengalaman baharu dan ditempatkan di beberapa jabatan termasuk kecemasan dan trauma (A&E).

Berkesempatan bertentang mata dan menemu bual personaliti perubatan bernama Dr. Nur Elayni Borhan petang Isnin lalu, aura positif dalam diri anak jati Kuala Lumpur itu juga jelas terpancar.

Pernah menjadi hos rancangan televisyen, Diari Rawat di saluran RTM, Dr. Nur Elayni, 40, kini merupakan Penolong Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC).

Meskipun terpaksa meninggalkan sementara tugasnya di Jabatan Kecemasan atas keperluan memenuhi sesi temu bual media, Dr. Elayni tetap beri kerjasama terbaik bersulam senyuman hingga selesai.

“Kalau diikutkan, sewaktu kecil saya tidak pernah menanam cita-cita untuk jadi doktor apatah lagi bekerja sebagai pakar perubatan di wad kecemasan seperti sekarang ini.

“Dulu masa kecil, keluarga selalu bawa bercuti menaiki pesawat, saya amat suka lihat pramugari cantik bertugas.

“Pernahlah terdetik untuk ikut jejak langkah dan nak jadi seperti mereka (pramugari) bila besar nanti, tetapi ia hanyalah angan-angan,” tuturnya membuka bicara bersama Aura.

Dr. Nur Elayni mempunyai sebab tertentu memilih laluan kerjaya sebagai seorang doktor.

Akuinya, biarpun kerjaya sebagai doktor merupakan pilihan keluarga, namun dia bersyukur kerana laluan kerjayanya dalam profesyen yang mampu menyelamatkan nyawa manusia itu dipermudahkan.

“Saya hanya ikut perancangan keluarga, selain ingin mencabar diri. Dalam adik-beradik memang tiada yang jadi doktor termasuk ibu bapa.

“Saya mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda di Dublin, Ireland pada 2004 selama lima tahun dan merasakan bidang perubatan satu perkara menarik dan mencabar.

“Usai pengajian dan bergraduasi pada 2009, saya memulakan housemanship di HSB. Selepas tamat housemanship selama dua tahun, saya ditukarkan ke Hospital Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dihantar bertugas di jabatan obstetrik dan ginekologi (O&G),” katanya.

Akuinya, dia bukan seorang yang memilih meskipun ditempatkan di pelbagai unit atau jabatan, tetapi minat, jiwa serta cintanya lebih kepada bahagian kecemasan dan trauma.

Selepas berfikir masak-masak, selepas dua tahun, dia nekad mengambil keputusan untuk kembali ke ibu kota dan memulakan khidmat di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Puncak Alam, Selangor.

“Jadi di tempat baharu, saya melakukan dua kerja dalam satu masa.

“Kerja hakiki saya adalah doktor perubatan dan keduanya saya menjadi pensyarah dan mengajar pelatih di sana.

“Untuk menjadi seorang pengajar, secara tidak langsung, saya diminta untuk sambung pengajian dalam Sarjana Perubatan Kecemasan dan Universiti Malaya menjadi pilihan saya.

“Maka, bermulalah kehidupan saya sebagai seorang pelajar selama empat tahun dan pada masa sama masih berkhidmat di Hospital UiTM sebagai doktor,” katanya.

Usai tamat pengajian Sarjana, dia ditempatkan di Hospital Selayang, Selangor sebagai pakar perubatan kecemasan, namun hanya bertahan selama setahun disebabkan faktor jarak perjalanan yang jauh.

“Saya tinggal di Shah Alam dan perjalanan setiap hari mengambil masa hampir satu jam dan lebih pada waktu puncak untuk perjalanan sehala ke hospital.

“Sementelah pada ketika itu saya turut mengambil kursus fellowship dalam ultrasound bagi penjagaan kritikal di UiTM yang mana ia sebahagian daripada bidang kecemasan.

“Menerusinya saya dapat ‘kembali’ berkhidmat di HSB, namun pada masa itu negara mula dilanda wabak maut Covid-19.

“Saya ditempatkan di bahagian kecemasan untuk bantu pesakit Covid-19 selama hampir dua tahun sebelum sekali lagi meninggalkan sektor awam,” ujar ibu dua cahaya mata itu.

Pada penghujung Mac 2021, Dr. Elayni memulakan khidmat sebagai pakar perubatan kecemasan di SMC. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tawaran, peluang, ruang dan pembangunan kerjaya lebih baik.

Meneruskan perkongsiannya, Dr. Elayni mengakui pada mulanya keluarganya tidak begitu menyokong keputusan untuk berkhidmat di bahagian kecemasan kerana tanggungjawab di jabatan itu yang perlu bertugas dalam tempoh masa panjang dan perlu sentiasa bersedia.

Pun begitu, dia terpaksa ‘memekakkan’ telinga dan tetap dengan pilihan hatinya kerana minat, cinta dan sayang dalam bidang tersebut.

Katanya, itu merupakan salah satu cabaran yang terpaksa dihadapi termasuk persepsi masyarakat luar yang tidak pernah sedar akan kewujudan, tugas dan keberadaan mereka di bahagian itu (kecemasan).

“Di negara kita, boleh dikatakan kepakaran dalam perubatan kecemasan dianggap masih baharu. Kebanyakan orang cuma tahu dan lebih kenal pakar perubatan daripada jabatan-jabatan atau unit yang lebih terkenal atau doktor dalam wad.

“Doktor atau pakar perubatan di jabatan kecemasan tidak begitu dikenali sedangkan kami yang menjadi ‘first hand’ menerima pesakit dan menstabilkan mereka.

“Datanglah apa pun cabaran, saya tetap teguh dengan pilihan dan akan berada di sini (jabatan kecemasan) selagi mana khidmat masih diperlukan,” katanya.

Berkongsi momen yang paling tidak boleh dilupakan, Dr. Elayni memberitahu antara sebab dia kekal berada di jabatan kecemasan berakar umbi daripada satu peristiwa lampau.

Menurutnya, ketika itu, dia baru mula bertugas sebagai houseman dan pada hari itu perlu bertugas bersendirian dengan ditemani beberapa jururawat.

“Pada malam itu, ada seorang pesakit lelaki berketurunan Melayu berusia lingkungan 40-an datang dan rebah tidak sedarkan diri betul-betul depan saya disebabkan serangan jantung.

“Masa itu, saya teragak-agak nak buat apa. Saya rasa blank (kosong). Tanpa saya sedar, ada seorang jururawat senior pegang tangan saya dan tarik saya untuk mulakan prosedur bantu pesakit itu.

“Jujur saya katakan sampai ke hari ini detik itu membuatkan saya sedar yang saya tidak boleh lambat dan kena pantas bertindak.

“Momen itu saya akan ingat sampai bila-bila. Kalaulah saya bertindak lebih cepat dan tidak teragak-agak masa itu, adakah orang itu akan hidup sampai sekarang?” soalnya kepada diri sendiri.

Kata Dr. Elayni, di bahagian kecemasan dia juga tidak terlepas daripada melakukan bantuan pernafasan (CPR) dan itu antara ‘favourite’ dirinya.

Daripada situ juga katanya, dia mula banyak terlibat dalam mengadakan program bersama komuniti termasuk di sekolah atau syarikat luar dan hospital.

“Bantuan kecemasan pernafasan perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum hantar pesakit atau mangsa itu ke hospital.
“Apa yang saya boleh katakan masyarakat di negara kita pada masa ini masih lagi rendah pengetahuan dan kurang kesedaran mengenai kepentingan CPR.

“Jadi, menerusi program-program bersama komuniti, saya dapat ajar mereka lakukan CPR dengan cara betul meskipun tanpa melibatkan bantuan pernafasan mulut ke mulut iaitu dengan menekan dada dan mulut,” katanya.

Dr. Elayni menyeru mana-mana anak muda terutama golongan wanita yang memasang impian bergelar doktor untuk membuat persiapan sepenuhnya.
Katanya, persiapan yang dimaksudkan meliputi semua aspek dan jangan sesekali berpaksi atas minat atau glamor bergelar doktor semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN