KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Institusi Yang di-Pertuan Agong merupakan tonggak kekuatan negara dan rakyat pelbagai kaum malah, baginda turut berperanan sebagai penaung agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Dalam ucapan tahniah yang dibacakan Anwar di Istana Negara hari ini, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah nombor satu negara merupakan pengukuh kedudukan bahasa Melayu dan pembela hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera.
Katanya, ia juga menjamin kesaksamaan dan keadilan bagi semua warga dalam memaknai prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Sesungguhnya, pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku hari ini mencatat lembaran sejarah yang Insya-Allah akan mampu mengangkat martabat negara.
“Kerajaan dan seluruh rakyat jelata berdoa ke hadrat Allah S.W.T, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Berdua serta kerabat, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya, kekal karar di atas singgahsana pemerintahan juga beroleh afiyah dan penuh kedaulatan.
“Tuanku turut berperanan dalam menjamin jalinan erat di antara negara di peringkat ASEAN, negara-negara Islam dan di peringkat antarabangsa,” katanya semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.
Perdana Menteri yang mewakili seluruh rakyat negara ini turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Raja Zarith Sofiah sebagai Raja Permaisuri Agong. – KOSMO! ONLINE.