KEMAMAN – Gangguan hidupan liar terutama kera dan monyet yang merosakan tanaman penduduk bukanlah perkara baharu, malah sudah mengganggu kehidupan penduduk di Kampung Air Putih di sini sejak lebih lima tahun lalu.
Haiwan liar itu dikatakan semakin banyak dan kerap berkeliaran di perkampungan tersebut setiap kali musim buah-buahan.
Seorang penduduk, Ramli Ismail, 66, berkata, selain merosakan tanaman dan buah-buahan, ada juga kejadian kera menceroboh dapur rumah untuk mencuri makanan.
“Bukan hanya telur, malah mi segera turut dicuri. Kadang-kala bimbang kalau tinggalkan isteri berseorangan di rumah.
“Ekoran kejadian ini, saya akan pastikan pintu rumah sentiasa ditutup sebab takut hidupan liar terutama kera masuk.
“Biasanya bukan seekor, tetapi lebih lima ekor. Bimbang sangat kalau-kalau haiwan tersebut bertindak agresif,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Air Putih di sini semalam.
Ramli berkata, kera dan monyet tersebut sukar ditangkap meskipun perangkap sudah dipasang.
“Kalau musim buah-buahan, memang boleh dikatakan kami sentiasa ‘berebut’ dengan kera untuk menikmati buah. Kami perlu sentiasa memantau kehadiran kera,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Sulaiha Ali, 56, berkata, dia sering berjaga-jaga dan sentiasa memastikan cucunya berada dalam pengawasan sekiranya bermain di luar rumah.
“Kami sampai takut keluar rumah berikutan banyak sangat kera dan monyet berkeliaran.
“Saya memang sentiasa jaga cucu dan sering tutup pintu rumah. Kalau pintu dapur terbuka, memang haiwan liar itu akan masuk mencari makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Sulaiha juga mengaku sering menggunakan mercun untuk menghalau haiwan liar tersebut.
“Kera ini tidak takutkan manusia, malah kita pula yang disergah kembali,” katanya.














