KEMAMAN – Tindakan seorang lelaki berusia 75 tahun yang menggantung biskut bercampur racun bagi menghalau kera di kebun pisangnya bukanlah amalan pekebun-pekebun lain di Kampung Air Putih di sini.
Sebaliknya, pekebun terbabit dipercayai hanya menggunakan kaedah tersebut kira-kira seminggu lalu.
Seorang penduduk dikenali Senah Mail, 50, mendakwa, kebiasaannya pekebun lain akan meletupkan mercun bola untuk menghalau kera daripada mencerobohi kebun mereka.
“Kera memang musuh tanaman utama dan sering merosakkan hasil pertanian kami terutama pisang dan kelapa sejak sekian lama.
“Selain menggunakan mercun bola, kami juga biasanya akan menabur racun di atas tanah kebun untuk menghalau haiwan perosak,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Air Putih di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang remaja, Mohd. Daynail Haikal Alias, 13, yang nyaris maut selepas termakan biskut disyaki dicampur racun sewaktu dalam perjalanan untuk memancing bersama rakan lelakinya pada Jumaat itu.
Walaupun sempat meludah semula cebisan biskut tersebut, kesan racun yang amat kuat menyebabkan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dadong itu menggelupur dan mulut berbuih sebelum tidak sedarkan diri.
Senah mendakwa, sepanjang pengetahuannya, belum pernah lagi pekebun menggunakan kaedah mengantung makanan dicampur racun untuk menghalau kera di kawasan kebun.
Dakwa wanita itu, pekebun pisang berusia 75 tahun terbabit satu-satunya penduduk kampung yang berbuat demikian.
“Menggantung makanan bercampur racun amat berisiko dan paling risau ia boleh menarik perhatian kanak-kanak.
“Kerisauan itu terbukti apabila seorang remaja secara tidak sengaja telah termakan biskut dicampur racun pada Jumaat lalu,” katanya.
Menceritakan semula kejadian itu, Senah yang menetap kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian berkata, dia yang berada di rumah dikejutkan dengan jeritan rakan Haikal yang meminta pertolongan.
Katanya, dia kemudian meminta salah seorang anaknya membantu membawa Haikal ke Klinik Kesihatan Air Putih di sini untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Mohd. Daynail Haikal telah selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini kelmarin.
Beliau berkata, remaja lelaki itu tampil memberi keterangan pada pukul 4.40 petang.
“Kami tidak menolak kemungkinan memanggil semula dia (Haikal) sekiranya perlu bagi melengkapkan siasatan,” katanya.














