fbpx
USAHA mencari dan menyelamat Rosdan yang dilaporkan hilang sejak 28 Jun lalu di Kampung Redan, Mela di Lipis giat dijalankan semalam.

Pak Itam ada tetapi ‘disorok alam sana’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Usaha mencari dan menyelamat lelaki orang kelainan upaya (OKU), Rosdan Mat, 52, yang dilaporkan hilang sejak 28 Jun lalu di Kampung Redan, Mela dekat sini terus menemui jalan buntu.

Kakak Rosdan, Ezah Mat, 54, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk solat hajat dan bacaan Yasin hampir setiap hari bagi mendoakan agar adiknya ditemui walau dalam apa juga keadaan.

“Selain daripada pasukan penyelamat terdiri daripada polis dan bomba, penduduk kampung juga tidak putus-putus datang membantu mencari Pak Itam (panggilan untuk Rosdan).

“Saya dan semua ahli keluarga berharap agar Pak Itam dapat segera ditemui sama ada hidup atau mati,” katanya di sini semalam.

Bagi adik ipar Rosdan, Adnan Mat Isa, 54, berkata, mereka sekeluarga turut menggunakan alternatif lain termasuk me­minta khidmat ustaz yang boleh mengesan orang hilang.

“Beberapa orang ustaz yang datang membantu memberitahu Pak Itam masih berada di sekitar kampung cuma dia ‘disorok’ di ‘alam sana’.

“Ustaz juga meminta kami meningkatkan usaha penca­rian dan kerap mencari di pokok besar serta rumah kosong yang di­tinggalkan,” katanya.

Tambah Adnan, kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku sebaliknya pada tahun 2016 Rosdan pernah hilang selama tiga hari sebelum ditemui.

“Masa Pak Itam hilang (tahun 2016) pelbagai usaha telah dilakukan. Namun kami semua terkejut apabila Pak Itam tiba-tiba muncul berjalan kaki dari arah kebun di belakang rumah.

“Pak Itam kata ada ‘orang’ bagi dia makan tetapi kami tidak mahu bertanya lebih lanjut. Sejak kejadian itu juga tahap kesihatan dan mental Pak Itam makin merosot,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa, Rosdan Mat, 52, dilaporkan hilang oleh adik iparnya pada 28 Jun lalu kira-kira pukul 9.39 pagi.

Ismail berkata, mangsa yang masih hilang merupakan OKU yang mengalami masalah mental sejak berusia 14 tahun.

“Pihak polis bersama penduduk buat operasi mencari dan menyelamat di sekitar tempat kejadian, namun gagal ditemui. Operasi masih diteruskan pada hari ini (semalam),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN