fbpx
Nurain reda dengan kematian dua anaknya dan menyifatkan kejadian ini sebagai ujian terberat dalam hidup.

‘Tiada lagi keletah menghiburkan dua cucu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Seorang lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa jajan beracun disahkan meninggal dunia semalam selepas 120 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Pulau Pinang.

Muhammad Luth Syauqi, 2, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.24 tengah hari di sisi ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, iaitu dua hari selepas abangnya, Muhammad Akil meninggal dunia di hospital sama.

Dua beradik malang itu dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Ahad lalu selepas mengalami muntah-muntah teruk, mulut berbuih, sawan dan menggelupur kesakitan dipercayai akibat termakan makanan ringan dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi di Labu Besar, Kulim.

Menurut Nurain, dia me­nerima segala ketentuan Allah selepas anak keduanya itu masih tidak menunjukkan sebarang tindak balas sejak dimasukkan ke hospital berkenaan lima hari lalu.

“Keadaan adik masih kritikal sehingga pukul 11 pagi ini (semalam) dan tiada perkembangan positif. Saya sentiasa ada di sisi dan cuba bercakap dengannya walaupun dia tidak beri apa-apa respons.

“Saya beritahu yang saya reda dengan apa yang berlaku, tak mahu lihat adik terseksa sebegini. Pergilah dekat abang (Muhammad Akil Syauqi) dan bermain bersama-samanya di sana,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Nurain memberitahu, hubu­ngan dua beradik itu sememang­nya amat rapat dan mereka sentiasa bergurau serta bermain bersama-sama.

“Doktor sudah berusaha sehabis baik untuk anak saya. Saya amat berterima kasih kepada mereka (doktor dan jururawat) dan sedia menerima takdir yang cukup berat ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, proses bedah siasat dijalankan pada pukul 5 petang semalam dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan di Baling, Kedah.

Di Kulim, Kedah, datuk kepada dua beradik itu, Muhammad Nazar Abdullah, 53, mengakui kehidupannya akan terasa sunyi selepas ini tanpa keletah Muhammad Akil dan Muhammad Luth.

“Dua cucu saya sudah tiada, rumah ini pasti sunyi kerana mereka yang sentiasa menghiburkan saya dan nenek.

“Belum hilang sedih atas kematian Muhammad Akil pada Rabu lalu, hari ini (semalam) adiknya pula pergi meninggalkan kami. Namun, kami tetap terima ujian ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, dua cucunya itu sangat manja dan kerap mencarinya terutama ketika baru bangun dari tidur.

“Mereka suka ikut saya ke mana sahaja termasuk ke kandang lembu dan sekitar kampung. Keletah dua beradik itu sangat menghiburkan, rasa letih sebaik balik dari menoreh akan hilang bila tengok wajah mereka.

“Kini, semua itu kini tinggal kenangan dan memang sukar nak terima bahawa mereka sudah tiada,” ujarnya.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik itu dilaporkan kritikal selepas termakan jajan disaluti dengan racun tikus di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah.

Jajan berkenaan didakwa dipasang oleh pekebun untuk memerangkap monyet yang se­ring mengganggu tanaman dan kediaman penduduk.

Susulan itu, polis telah menahan reman seorang individu bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan: ‘Bermainlah di taman syurga Muhammad Akil’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN