Khamis lalu, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, menghembuskan nafas terakhir selepas 72 jam bertarung nyawa akibat termakan makanan ringan disaluti racun tikus pada Ahad lalu.
Kanak-kanak itu meninggal dunia di sisi ibunya, Nurain Hasnorizal selepas wanita berkenaan selesai bacaan Yasin di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang (HPP), kira-kira pukul 8.30 pagi.
Kesedihan keluarga ini berganda apabila adik Allahyarham, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang juga termakan jajan ‘beracun’ diambil mereka di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah menghembuskan nafas terakhir semalam.
Berat ujian mereka, dua anak ‘pergi’ selang dua hari, salam takziah buat keluarga ini.
Berdasarkan laporan, dua beradik tersebut mengalami muntah-muntah, mulut berbuih selain menggelupur kesakitan sebaik menikmati makanan tersebut.
Kisah malang menimpa keluarga ini mengejutkan negara, nyawa seorang kanak-kanak diragut jajan disaluti racun tikus. Sedih, kecewa dan simpati menggunung pada mangsa.
Makanan ringan bercampur racun tikus tersebut dikatakan digunakan seorang pekebun untuk memerangkap monyet yang banyak di kawasan berkenaan.
Makanan ringan itu diletakkan di hadapan kebun dan diikat dengan ketat. Siapa tidak rimas dengan kehadiran binatang itu. Itu cara digunakannya melindungi kebun.
Berdasarkan laporan, racun ini biasa digunakan oleh pekebun dan harganya murah serendah RM3 satu peket selain mudah didapati sama ada membelinya di kedai mahupun secara online.
Mudahnya racun ini didapati membuka peluang kepada banyak ruang-ruang ia disalahgunakan. Dendam, amarah boleh menjadi penyebab penggunaan racun itu selepas ini.
Menurut Pusat Racun Negara, ada dua komponen dalam racun tikus yang berbahaya iaitu zinc phosphide, yang mempunyai kadar toksik yang tinggi dan antikoagulan.
Zing phosphide apabila bersentuh air atau asid lemah dalam perut misalnya akan membebaskan gas fosfin yang menyebabkan sukar bernafas, tekanan darah menjadi rendah dan denyutan jantung tidak menentu, buah pinggang boleh rosak seterusnya menyebabkan koma.
Antikoagulan, agen pencair darah kebiasaannya digunakan pesakit jantung, namun jika dos berlebihan boleh menyebabkan gusi hidung berdarah, kencing berdarah dan tidak sedarkan diri.
Bukan mahu mencari salah siapa tetapi atas dasar tanggungjawab kita boleh mencegah perkara ini daripada berulang. Tidak mustahil pengendali racun sendiri boleh menerima kesan daripada bahan tersebut.
Mahu meracun, utamakanlah keselamatan, bukan sahaja diri tetapi persekitaran. Pihak berkuasa jalankan peranan, ambil tindakan, pastinya kacau ganggu ditimbulkan makhluk perosak telah mencapai kemuncak buat penduduk.
Cari solusi terbaik untuk pekebun-pekebun kecil yang bergantung kepada racun untuk memerangkap binatang.
Malang tidak berbau. Tegaslah memantau penjualan racun di pasaran terbuka. Jangan pandang rendah ‘kemampuan’ racun perosak.
Hentikanlah bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang. Berubah untuk menyelamatkan nyawa. Utamakan keselamatan. Kawal takut bahaya lain pula terjadi.














