SETELAH seminggu penat bekerja, memancing adalah terapi buat pemuda itu untuk mencari ketenangan.
Tambahan pula, dapat bertemu rakan-rakan yang mempunyai hobi sama, berjaya ‘menarik’ ikan serta mencuba kehebatan alat pancing menjadikan stres bekerja hilang daripada fikiran.
Aktiviti itu menjadi rutin buat pemuda yang mahu dikenali sebagai Zack (Dr. Rohu) yang setiap minggu ke kolam memancing untuk memenuhi kehendak hobinya.
Katanya, minat memancing diwarisi daripada bapanya yang sering membawanya melakukan aktiviti itu sejak kecil.
“Sejak kanak-kanak lagi ayah sering membawa saya pergi memancing dan hal itu membuatkan saya membuahkan rasa minat saya terhadap aktiviti itu.
“Minat terhadap memancing juga wujud kerana banyak faktor, antaranya ia dapat menguji kesabaran, memberi ketenangan setelah seminggu sibuk kerja, berjumpa sahabat sehobi dan ‘tarik’ ikan dengan deruman mesin bunyi katak,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Tambah bapa kepada tiga cahaya mata itu, selama lebih 20 tahun memancing, dia kini boleh dikatakan mahir memancing di air tawar, malah dia juga ada menjual umpan dedak, mata bom, jut ikan dan mesin katak.
Berkongsi tentang umpan buatannya, dia memberitahu, formula umpan tersebut adalah hasil air tangannya sendiri.
Idea untuk menjual umpan bermula kerana pada masa dahulu tiada orang yang menjual umpan seperti hari ini, malah kini pemancing mudah untuk mendapatkannya di kolam-kolam, kedai-kedai memancing dan secara dalam talian.
Sering memancing di kawasan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zack memberitahu bahawa setiap kolam yang dikunjunginya mempunyai cabaran yang tersendiri.
Antara kolam yang sering dikunjungi adalah kolam Santai Tekali, kolam Fitri Ulu Langat, kolam 3H Putrajaya dan kolam Haji Nawi Tekali.
Mahir menawan ikan rohu dan patin, Zack mengatakan, meskipun ada cabaran pemancing perlu tahu beberapa tip agar dapat meraih hasil terutama ketika memancing di kolam komersial.
“Tip untuk memancing di kolam komersial ini ada banyak, antaranya perlu datang awal ke kolam untuk cari lubuk, biasanya pada pukul 7.30 pagi sudah kena sampai.
“Masa ideal untuk memancing ikan ini biasanya pada pukul 9 hingga 7 petang kerana biasanya tuan yang memelihara ikan di lombong akan memberi makan pagi dan petang,” ujarnya.
Tambahnya, selain rohu dan patin, dia juga pernah menawan beberapa ikan lain seperti talapia, pacu serta tongsan.
Kongsinya lagi, selain memilih masa yang sesuai, pemancing juga perlu memastikan umpan bersesuaian dengan ikan yang diburu selain mengetahui ‘port’ ikan berkumpul.
Bercerita tentang pengalaman semasa memancing, Zack mengatakan terdapat banyak kenangan yang tidak dapat dia lupakan.
Antaranya dia pernah menggasak kolam sehingga berjaya memperoleh 50 ekor ikan rohu sehinga tuan kolam tidak boleh menerima kenyataan.
“Selain itu, saya juga berjumpa dua pemancing yang berlagak kerana mengatakan bahawa ada bangau duduk di sebelah yang dipercayai memberi tuah, namun akhirnya mereka hanya pulang dengan tangan kosong dan malu kerana saya lebih murah rezeki.
“Begitulah dalam memancing, kadangkala jangan cakap besar, ikan juga boleh tahu niat kita, lebih baik kita berserah dan bersabar kerana sabar itu separuh daripada iman,” selorohnya tertawa.
zack mengatakan terdapat banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang memancing.
Jelasnya lagi, meskipun terdapat pilihan memancing di laut, dia lebih memilih gemar ke kolam air tawar kerana di sana tidak banyak menggunakan modal dan kurang risiko.
Namun begitu, dalam memancing, ia bergantung kepada minat masing-masing, sama ada di laut atau darat (air tawar) kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.
















