fbpx
MEMPUNYAI 3.5 juta pengikut di TikTok dan dikatakan TikToker wanita pertama Malaysia yang menerima verifikasi, Puspa Gomen atau nama sebenarnya, Raudzah Ismail yang terkenal dengan video-video parodi.

Puspa Gomen dapat nama daripada filem P. Ramlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANYA suka-suka merakam video berunsur komedi dan parodi lalu dimuat naik di laman TikTok akhirnya merubah hidup wanita ini.

Gayanya yang bersahaja bak seorang pelawak dan pelakon dengan mimik muka serta lenggok badan menuai populariti lebih-lebih lagi selepas beberapa untaian videonya tular dan sering FYP (For Your Page).

Antara video parodinya yang tular ialah cara baharu meminta hutang kawan.

Menggunakan nama akaun Puspa Gomen yang kini diikuti 3.5 juta pengikut, wanita kelahiran Perlis ini memang langsung tidak pernah menyangka perangai ‘gila-gilanya’ itu bertukar menjadi kerjaya sebagai content creator (pencipta kandungan) hingga ke hari ini.

“Kalau diingat semula, saya sudah aktif di media sosial terutama dalam TikTok sejak tahun 2018 lagi.

“Awalnya saya sekadar suka-suka, akan tetapi selepas itu saya mula ketagih dan dengan sokongan orang sekeliling, saya mencuba untuk pelbagaikan content terutama sekali berunsurkan komedi dan parodi.

“Dari situ juga ramai yang mula melihat video yang saya muat naik dan mengikuti saya hingga pernah diiktiraf sebagai comedy content creator dan menjadi TikToker wanita pertama mendapat verified (verifikasi) pada 2020,” katanya teruja memulakan bicara.

Lebih membanggakan, video komedinya juga pernah mewakili Malaysia dalam TikTok All Star 2019 untuk dipertandingkan dan bersaing dengan TikToker dari negara Asia lain.

Disebabkan popularitinya sebagai pempengaruh dalam masyarakat, dia juga telah dilantik sebagai Ikon Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sepang.

Ditanya bagaimana datangnya keberanian selain keyakinan tinggi dalam menghasilkan video komedi, pemilik nama lengkap Raudzah Ismail, 41, ini mengakui sejak dulu dia seorang yang berani memperkenalkan diri di khalayak ramai.

Katanya, TikTok menjadi platform yang mana dia dapat menzahirkan bakat seni dan kelebihan yang ada dalam dirinya kepada umum.

“Sebenarnya saya juga amat minati bidang seni nyanyian serta lakonan. Cumanya dalam kisah parodi ini, saya cuma gunakan dialog asli (original) sesebuah cerita atau kisah tersebut serta mengubahnya dari segi watak dan penyampaian sekali gus menjadikan jalan ceritanya lebih kelakar.

“Keberanian dan keyakinan itu datang bila adanya suami yang sentiasa menyokong dan membantu termasuk kawan-kawan juga,” katanya.

Puspa Gomen banyak menghasilkan video-video parodi yang ditonton sehingga berjuta orang.

Ditanya kenapa memilih nama Puspa Gomen (Government), ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui dirinya merupakan seorang bekas penjawat awam.

Katanya, dia sebelum ini bekerja dengan Kerajaan Malaysia dan merupakan Penolong Akauntan Gred 32 di Jabatan Akauntan Negara di Putrajaya.

“Saya telah berkhidmat selama 18 tahun dalam kerajaan. Bermula tahun 2006, saya mulakan kerjaya sebagai Pembantu Tadbir Gred 17 di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.

“Dua tahun selepas itu, saya dinaikkan pangkat menjadi Penolong Akauntan Gred 27 dan ditempatkan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

“Pada 2010 pula, saya bertukar ke Bahagian Pinjaman Perumahan dan selepas itu saya dinaikkan pangkat menjadi Penolong Akauntan Kanan Gred 32,” tuturnya.

Pun begitu, bermula Ogos tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk bersara awal tanpa paksaan mana-mana pihak dan berminat untuk bekerja sendiri.

Mengenai namanya pula, jelas Puspa, sebelum nama itu diguna pakai secara rasmi di media sosial, orang pernah gelarkannya dengan nama Puspawangi.

“Hal itu kerana ketika bekerja dahulu, saya suka pakai minyak wangi jenis pati dan bau itu memang semerbak satu pejabat. Dek kerana wangi itulah saya digelar Puspawangi sama seperti watak dalam sebuah naskhah Allahyarham P. Ramlee, Musang Berjanggut.

“Tercetusnya nama Puspa Gomen pula adalah ketika adik angkat saya selalu perli saya dengan memanggil saya dengan gelaran ‘akak gomen’ yang sinonim dengan ‘kerja dan balik awal’.

“Dari situlah saya pilih dan letak nama Puspa Gomen dan digunakan sebagai nama pena atau nama pentas sampai ke hari ini,” katanya.

Pernah
menyertai Muzikal Lawak Superstar 3 sebagai kumpulan Abioso.

Kongsinya lagi selepas bersara, Puspa memberitahu dia pernah membuka sebuah restoran makanan di Kota Warisan, Sepang tetapi hanya bertahan selama enam bulan.

“Biasalah manusia ini kadangkala ada ketidakpuasan hati kalau kita buat sesuatu atau berjaya.

“Jadi untuk lebih selamat saya tutup restoran dan saya berniaga buka booth (gerai) di karnival dan acara-acara.

“Buat masa ini saya sudah tidak terlibat berniaga di gerai-gerai atau karnival kerana kekurangan staf.

“Tetapi, insya-Allah saya akan mulakan bisnes baharu dengan rakan kongsi tidak lama lagi,” katanya yang juga pernah menyertai Muzikal Lawak Superstar 3 (2023) dengan nama kumpulan Abioso selain menjadi artis naungan di bawah label MVM Music.

Mengenai kecaman yang pernah diterima sepanjang ‘ligat’ berparodi, Puspa memberitahu, itu antara lumrah dan perkara yang pasti diterima mana-mana pencipta kandungan.

“Saya pernah dikecam sebab video komedi yang dibuat dikatakan tidak relevan. Nama pun komedi dan konsepnya pelbagai. Macam saya jenis suka cipta lawak saya sendiri.

“Saya juga pernah terima kecaman dari segi pemakaian yang mengatakan tak sesuai untuk digayakan.

“Pada 2020, saya pernah dikecam teruk mengenai satu video yang tidak kena di mata netizen dan ia berlaku sehari sebelum arwah ibu saya meninggal dunia.

“Satu lagi, saya dikecam kerana buat parodi mengenai pelakon Puteri Sarah ketika keluar dari prosiding mahkamah yang mengatakan saya tidak sensitif sedangkan tuan badan okay dengan video tersebut,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Puspa berkongsi sedikit tip sebagai wanita haruslah sentiasa kuat dan jangan sesekali mudah putus asa serta teruskan apa sahaja yang dirasakan boleh membawa kepada kebaikan serta manfaat semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN