PENIPUAN online yang dilakukan scammer dengan menyasarkan individu yang mudah terperdaya nampaknya tidak akan pernah ‘padam’ kerana mereka yang terjerat pasti akan tidak terlepas dengan tipu helah yang pelbagai.
Isu scammer online bukan perkara baharu di negara ini kerana sudah berpuluh-puluh tahun ia berlegar-legar dalam masyarakat dan bukan sedikit orang yang termakan dengan umpan yang ditabur.
Apa yang lebih mengejutkan bukan setakat orang biasa, malahan golongan profesional, hatta doktor dan jurutera pun turut masuk perangkap scammer seolah-olah perkara yang ditawarkan itu benar-benar wujud.
Jumlah kerugian yang dialami mangsa juga bukan sedikit kerana menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Shamsul Anuar Nasarah baru-baru ini sejumlah RM1.22 bilion kerugian direkodkan berpunca daripada jenayah penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu.
Katanya, jumlah itu melibatkan sebanyak 34,497 kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 12,851 kes sudah dituduh di mahkamah.
Berdasarkan statistik tahun 2023, kes penipuan jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS), tipu penyamaran dalam talian dan tipu panggilan telefon telah mencatatkan kes tertinggi berbanding kes-kes yang lain.
Terbaharu, seorang wanita berusia 49 tahun di Terengganu kerugian RM1.6 juta akibat ditipu sindiket penipuan ekoran terpengaruh dengan iklan pelaburan mata wang Kripto di media sosial pada awal bulan ini.
Apa yang pasti, scammer bergerak aktif dengan modus operandi tertentu dan ia bertukar setiap kali taktik terbongkar seolah-olah macam sesumpah yang pakar dalam bab bertukar ‘wajah’ di setiap tempat yang dilalui.
Jika dulu, kita dikejutkan dengan love scam yang menyasarkan golongan wanita yang kesepian dengan memberi janji-janji manis hingga sanggup menyerahkan puluhan ribu, malahan ratusan ribu ringgit dek percaya dengan pujian melambung yang ditabur scammer.
Selepas itu, muncul pula penipuan menggunakan nama agensi kerajaan tertentu serta surat dari mahkamah dan lain-lain, selain skim pelaburan palsu yang menawarkan pulangan jutaan ringgit hingga menyebabkan mangsa menggigit jari selepas termasuk dalam ‘lubang’ yang digali untuk mereka.
Itulah scammer yang pasti akan muncul dengan idea dan taktik terbaharu untuk menipu mangsa yang lalai sesuai dengan peredaran masa, tidak ubah macam sesumpah yang berselindung di sebalik penyamaran.
Selagi manusia gelap mata dan tamak dengan tawaran lumayan yang dijanjikan scammer, selagi itu masalah penipuan online tidak dapat dibanteras.
Apa yang perlu dilakukan kita perlu sentiasa beringat dengan segala kemungkinan kerana percayalah, pelanduk selalu melupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.















