PETALING JAYA – Betul kata bidalan, ‘lain padang lain belalangnya, lain orang lain caranya’ bagi menggambarkan tentang usaha seorang penjual dadih bergerak bagi menarik pelanggannya.
Dengan tiupan seruling yang mendayu-dayu, seorang lelaki menjadi tular di media sosial apabila caranya ketika menjual dadih mendapat perhatian ramai.
Walaupun dikatakan dia akan meniup seruling ketika menunggu pelanggan datang, namun caranya itu juga membuatkan orang ramai hiba dengan alunan seruling yang dimainkan.
Penjual yang dikenali di media sosial Facebook sebagai Dadih Seruling Taiping itu sememangnya sudah terkenal di Perak dengan gaya uniknya ketika mempromosikan dadih yang dijual.
Terbaharu, menerusi satu klip video tular, lelaki tersebut mengalunkan sebuah lagi terkenal era 1990-an, Hanya Padamu nyanyian kumpulan Qiara telah menyentuh hati serta menarik perhatian ramai.
“Mendayu-dayu betul pakcik ni tiup seruling, sedih pula. Harap pakcik dimurahkan rezeki selalu. Kena pula dengan lagu Hanya Padamu ni,” jelas Anas John.
“Kalau aku ni dah leka dengan muzik seruling ni, kalua ada dekat depan abang ni tentu habis lima bekas dadih aku makan, tahniah abang semoga dimurahkan rezeki hendaknya,” kata Mat Lutfi Hakim. – KOSMO! ONLINE