SEJAK kecil, adik selalu mendapat perhatian yang lebih daripada ibu bapa, malah mereka juga menatang dia bagai minyak yang penuh seolah itulah satu-satunya anak mereka.
Itu apa yang dirasakan Mei Ling (bukan nama sebenar) sewaktu membesar menyebabkan dia berasa seperti halimunan dan kurang mendapat kasih sayang ibu bapa.
Oleh kerana itu, adiknya pula menjadi seorang anak yang terlampau manja dan sentiasa mahu mendapatkan lebih daripada dirinya.
“Saya tidak tahu apa yang membuatkan saya kurang diberi perhatian, mungkin kerana saya adalah anak yang ‘tidak dirancang’ kerana semasa lahir, ekonomi ibu dan ayah belum stabil.
“Oleh kerana itu, saya dihantar ke rumah nenek dan dibesarkan di sana sehingga berumur tujuh tahun dan ketika itu ibu sedang mengandungkan adik,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.
Tambahnya, hal itu membuatkan dia lebih rapat dan manja dengan nenek yang menjadi tempat dia menumpang kasih kerana situasi tersebut.
Namun begitu, hal tersebut tidak disenangi oleh adiknya yang cemburu perhatian lebih nenek kepada Mei Ling.
Walaupun di rumah, adik perempuannya itu bagaikan puteri, Mei Ling tidak pernah peduli, meskipun sering dimarahi ibu dan bapa kerana kerenah adiknya.
Namun sebaliknya, jika dengan nenek, Mei Ling akan dibela dan hal itu sering membuatkan adiknya tidak puas hati.
Sehingga meningkat dewasa, apabila kedua-dua mereka sudah mempunyai pekerjaan, adiknya juga sering mencemburukan Mei Ling kerana dia lebih berjaya berbanding dirinya sendiri.
“Saya tidak tahu apa yang membuatkan dia tidak puas hati, pernah sekali dia cuba untuk membuatkan saya lewat ke tempat kerja dengan menyorokkan kunci kereta, tetapi nasib saya ada kunci ganti.
“Tidak hanya itu, dia juga sering membuat onar dengan memburukkan saya kepada ibu dan ayah sehingga mereka meragui jawatan dalam pekerjaan saya yang dikatakan hasil daripada skandal bersama bos,” ujarnya.
Meskipun semua itu berlaku, Mei Ling masih lagi boleh bersabar, namun tidak pada satu insiden apabila kesabarannya sudah mencapai puncak.
Hal itu berlaku semasa dia mahu melangsungkan perkahwinan bersama pasangan hatinya yang ketika itu dia sudah membuat perancangan termasuk menetapkan tarikh kahwin.
Awalnya, semua berjalan lancar, malah dia turut dibantu oleh nenek yang teruja untuk majlis tersebut.
Walaupun dia tahu adiknya cemburu kerana Mei Ling sudah bertemu jodoh, hal itu tidak diendahkan olehnya.
“Saya sudah berbulan-bulan merancang tarikh untuk berkahwin, dewan, katering telah ditempah dan jemputan sudah diedarkan.
“Namun, tiada angin tiada ribut, tiba-tiba adik juga mahu berkahwin dan memilih tarikh yang sama dengan saya,” kongsinya.
Setelah mendapat tahu tentang perkara itu, Mei Ling cuba untuk tidak ambil pusing asalkan adiknya menguruskan dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
Namun, apa yang tidak disangka, adiknya dengan tanpa rasa bersalah mahu ‘menumpang’ majlisnya tanpa mengeluarkan sedikit belanja.
Hal itu membuatkan Mei Ling berang, tambahan ibu dan bapa menyokong cadangan adiknya dan tidak mengambil pusing akan perasaan dirinya.

“Selama ini saya tidak pernah kisah jika ibu dan ayah lebihkan adik, tetapi kali ini saya tidak lagi boleh tahan, malah bakal suami termasuk nenek juga tidak bersetuju akan hal ini.
“Saya tetap mempertahankan untuk tidak mahu berkongsi majlis dan hal itu membuatkan ibu dan ayah marah besar dan menuduh saya tidak bertimbang rasa,” ceritanya.
Hal itu membuatkan hati Mei Ling sangat terluka kerana sehingga pada tahap ini, ibu dan bapa masih melebihkan adiknya walaupun permintaannya itu tidak masuk akal.
Oleh kerana sudah lelah beralah, Mei Ling membuat keputusan untuk tetap tidak mahu berkongsi majlis dengan adiknya.
Malah, dia juga menyatakan bahawa jika ibu dan bapa berkeras, dia tidak teragak-agak itu melarang mereka hadir ke majlis perkahwinannya.
Bukan niat Mei Ling mahu membuang ibu bapa tetapi dia berharap agar amatan itu dapat merubah pendirian mereka.
Namun, semuanya sia-sia, ibu dan bapanya masih berkeras agar Mei Ling berkongsi majlis bersama adiknya.
Oleh kerana itu, Mei Ling memutuskan untuk melarang adik, ibu dan bapa untuk datang, meskipun mereka berang, hal itu tidak diendahkan olehnya.
Sehingga pada majlis perkahwinan, Mei Ling berharap agar ibu dan bapa berubah tetapi tetap sama, malah mereka masih berpihak pada adik.
Akhirnya Mei Ling reda dengan keadaan, perkahwinan itu juga menjadi pemutus hubungan kekeluargaan antara dirinya dengan adik, ibu dan ayah.
Namun begitu, dia masih bersyukur kerana kini dia mempunyai seorang suami penyayang dan nenek yang sentiasa ada di sisi.














