KUALA LUMPUR – Pengarah dan pengkritik filem serta budaya, Mansor Puteh maut selepas kereta yang dinaiki terbabas melanggar pembahagi jalan di Jalan Alam Damai, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.10 pagi tadi.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 71 tahun yang menaiki kereta Proton Iswara dari arah Taman Len Seng menghala ke Taman Alam Damai.
“Setibanya di lokasi, mangsa yang juga pemandu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu, lelaki tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE