fbpx
SEWAKTU mengangkat pakaian di ampaian asrama, Azura terlihat kelibat lembaga menyerupai wanita berdiri berhampiran belukar. – Shah Hasan

Misteri lembaga wanita penunggu kubur lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA bercerita tentang kisah mistik dan seram, ramai antara kita yang mempunyai pengalaman tersendiri berhadapan dengan situasi tersebut.

Antara kisah yang paling popular adalah ketika berada di asrama, sama ada ketika di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi.

Bagi Azura (bukan nama sebenar), dia turut mempunyai pengalaman menakutkan ketika menuntut di sebuah universiti awam di utara tanah air.

Azura yang kini berusia 39 tahun dan menetap di Kuala Lumpur berkata, kejadian itu berlaku ketika dia baru mendaftar masuk ke universiti itu sebagai pelajar kira-kira 20 tahun lalu.

“Saya melanjutkan pengajian di universiti tersebut ketika berusia 19 tahun selepas menamatkan persekolahan di tingkatan enam.

“Selepas mendaftar masuk, saya ditempatkan di asrama wanita yang terletak di kompleks asrama paling hampir dengan dewan kuliah.

“Walaupun begitu, apa yang tidak menyeronokkan adalah blok asrama wanita tersebut terletak paling belakang di antara empat blok di kompleks itu dan bersebelahan dengan kawasan belukar,” katanya.

Cerita Azura lagi, pada minggu pertama berada di universiti tersebut, dia agak sibuk dengan aktiviti minggu orientasi pelajar baharu.

Ini menyebabkan dia dan rakan-rakan kerap pulang pada waktu malam.

Jelasnya, dia juga tidak mempunyai rehat yang cukup kerana terpaksa bangun awal pagi sebelum bersiap ke pusat pengajian bagi menghadiri pelbagai taklimat.

“Nak dijadikan cerita, ada suatu hari, apabila saya dan rakan-rakan pelajar baharu dikehendaki menyertai aktiviti larian mengelilingi kampus pada waktu petang.

“Akibat terlalu penat, saya terus tertidur selepas mandi dan solat maghrib.

“Saya hanya terjaga kira-kira pukul 12 tengah malam.

“Ketika itu, saya baru teringat bahawa kain yang dijemur di ampaian yang terletak di belakang blok asrama belum diangkat.

“Disebabkan pakaian bersih yang dijemur itu perlu dipakai pada keesokan harinya, saya terus bergegas turun ke bawah untuk mengambil pakaian,” katanya.

Kata Azura, ketika sedang mengangkat pakaian miliknya, tiba-tiba dia terlihat kelibat seseorang seakan-akan wanita sedang berdiri di kawasan tebing yang terletak berhampiran belukar.

Dia yang ketika itu sedang mengangkat pakaian tidak memikirkan apa-apa, sebaliknya membiarkan ‘wanita’ tersebut di situ. Dia beranggapan ia mungkin pelajar senior yang sedang menggunakan telefon bimbit.

Bagaimanapun, sebaik melangkah meninggalkan kawasan ampaian, dia terlihat seolah-olah wanita berkenaan berlari laju menuruni tebing bukit dan masuk ke kawasan belukar berkenaan.

Disebabkan terkejut dengan apa apa yang dilihatnya, Azura kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pelajar senior yang ketika itu sedang menonton televisyen di ruangan rehat asrama terbabit.

“Sebaik mendengar apa yang saya ceritakan, kumpulan pelajar senior terbabit terus menutup televisyen dan segera beredar dari ruang rehat berkenaan.

“Malah, mereka menasihati saya agar terus masuk ke bilik dan tidur, serta tidak keluar dari bilik sehingga siang,” katanya.

Dia yang masih kebingungan dengan apa yang berlaku kemudiannya hanya menuruti nasihat pelajar senior terbabit, sambil beranggapan pasti ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

Keesokannya, ketika waktu makan tengah hari di kafe berhampiran asrama, dia mendekati salah seorang pelajar senior terbabit untuk bertanyakan kejadian pelik yang berlaku itu.

Menurut pelajar senior tersebut, dia bukanlah orang pertama yang menempuh pengalaman bertemu dengan lembaga ‘wanita’ berkenaan.

Malah, sudah ramai pelajar wanita yang berdepan detik menyeramkan itu terutama pelajar baharu.

“Kata senior terbabit, lembaga wanita terbabit dikatakan merupakan penunggu sebuah kubur lama yang terletak di kawasan belukar berkenaan.

“Walaupun tidak pernah mengakibatkan sebarang kejadian buruk, namun kelibat lembaga ‘wanita’ terbabit sudah cukup untuk membuatkan mereka ‘kecut perut’.

“Malah, ada antara mereka ketakutan sehingga mengalami demam selama beberapa hari.

“Sebab itulah ada pengawal keselamatan yang akan membuat rondaan di kawasan asrama bagi memastikan tiada pelajar berada di luar blok asrama pada waktu lewat malam,” katanya.

Tambah Azura, biarpun hanya sekali menempuh pengalaman bertemu dengan lembaga ‘wanita penunggu kubur’ tersebut, namun ia sudah cukup untuk membuatkan kejadian itu terpahat di dalam ingatannya sehingga ke hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN