PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan jejambat Bandar Saujana Putra (BSP) di Kuala Langat, hari ini yang menghubungkan projek perbandaran oleh LBS Bina Group Berhad (LBS) itu dengan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Projek jejambat tersebut, yang diumumkan pada 2019 kini dibuka untuk kegunaan awam dan dijangka membantu mengawal aliran trafik di kawasan BSP dan sekitarnya, dengan populasi penduduk BSP kini mencecah hampir 20,000 orang.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, penyempurnaan jejambat itu tepat pada masanya, selari dengan dengan pelancaran projek BSP Sutera LBS pada April lalu.
“Pembangunan BSP Sutera terdiri daripada unit pangsapuri dan rumah bandar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM207 juta, yang mana ianya akan memberi nilai tambah di BSP.
“Perbandaran BSP terdiri daripada pembangunan bercampur strategik dengan pilihan komprehensif kediaman dan unit komersial yang memenuhi keperluan rakyat.
“Saya percaya jejambat ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membantu meningkatkan aliran trafik di lokasi kritikal ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya turut menekankan kepentingan jejambat berkenaan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada LBS atas sumbangan syarikat terhadap pembinaannya.
“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi keutamaan terhadap kesejahteraan rakyatnya. Pelancaran jejambat Bandar Saujana Putra ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk dengan mengurangkan masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas,” katanya. – KOSMO! ONLINE














