PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan segera bagi menyaring semula data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pelajar yang tercicir.
KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius isu calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir markah PAJSK itu.
“Tindakan segera telah diambil untuk menyaring semula data PAJSK calon yang tercicir.
“Data tersebut akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran untuk melanjutkan pengajian yang tertakluk kepada kelayakan calon dan kekosongan program,” katanya hari ini.
Katanya, KPM sedang menjalankan siasatan secara terperinci perkara yang berbangkit dan melaksanakan langkah intervensi bagi memastikan isu timbul dapat diatasi segera dan tidak berulang pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE