PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hijrah merupakan satu pengorbanan dan perjuangan dalam pembaharuan yang bererti, serta perubahan harus dimulai oleh diri sendiri dengan merubah jiwa dan minda.
Perdana Menteri itu berkata, Allah SWT meletakkan prasyarat Taghyir al-Nufus (perubahan jiwa dan minda) untuk merubah nasib bangsa ke arah Malaysia yang madani dan berketerampilan.
“Di sebalik maksud hijrah, tersirat makna harapan, terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan rakyat.
“Harapan tersebut mesti terjelma dengan kerja keras dan dukungan rakyat terbanyak,” jelas beliau dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Pemaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di atas limpah perkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024 hari ini.
“Tahniah diucapkan kepada Tokoh Maal Hijrah 1446/2024 Kategori Kebangsaan, bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, manakala Kategori Antarabangsa, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Prof. Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














