DUSSELSORF – Pasukan England terpaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir saingan Euro 2024 selepas menewaskan Switzerland menerusi penentuan penalti 5-3 sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Merkur Spiel-Arena itu, skuad Three Lions kendalian Gareth Southgate mengekalkan ramuan yang sama di jentera serangan dengan kehadiran bintang seperti Harry Kane, Phil Foden, Bukayo Saka dan Jude Bellingham.
Kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan berhati-hati pada babak pertama tetapi penguasaan bola lebih memihak kepada England yang menduduki ranking No. 5 dunia.
Bersambung pada separuh masa kedua, Switzerland bimbingan Murat Yakin mula meningkatkan intensity perlawanan dengan melakukan beberapa siri serangan ke atas kubu England.
Gol yang dicari akhirnya tiba menerusi jaringan Breel Embolo pada minit ke-75 selepas memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan England, John Stones.
Tersentak dengan gol tersebut, England menggandakan asakan dengan Saka menjadi wira pasukan dengan jaringan menarik dari luar kotak penalti berselang lima minit kemudian.
Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat sekali gus mengheret saingan ke masa tambahan.
England hampir mendahului buat kali pertama tetapi percubaan tepat Declan Rice pada minit ke-95 Berjaya ditepis penjaga gol, Yann Sommer.
Switzerland turut memiliki peluang untuk meraih gol kemenangan, namun sepakan penjuru yang diambil Xerdan Shaqiri sekadar menggegar palang gol dengan aksi terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.
Semua pemain England berjaya melunaskan tanggungjawab yang diberikan manakala pertahanan Switzerland, Manuel Akanji menjadi duri dalam daging pasukan apabila sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Jordan Pickford. – KOSMO! ONLINE














