PETALING JAYA – “Kita (Adira) nak kahwin dengan awak sahaja.”
Demikian respons penyanyi Adira ditujukan khas buat bekas suaminya, Datuk Red menjawab asakkan persoalan tentang pengganti daripada khalayak.
Seperti membayangkan hanya Datuk Red satu-satunya lelaki dalam hidupnya, Adira atau Siti Adira Suhaimi, 33, bertegas sudah muak untuk berkenalan dengan orang baharu. Bagi perkara tersebut hanyalah membazir.
“Kita tak mahu kahwin dan kalau nak pun dengan awak sahaja. Tetapi mungkin lama-lama sikitlah rujuk.
“Saya malas nak bercinta. Ingat tidak buang duitkah?,” katanya dalam sebuah siaran langsung TikTok.
Dalam video sama, pelantun lagu Ku Ada Kamu yang bersiaran langsung bersama Datuk Red memberitahu dia malas mahu memperkenalkan serba-serbi kehidupannya.
“Malas nak beritahu orang semula saya tinggal di Sabah, bapa sudah meninggal, adik-beradik 10 orang. Susah.
“Kenapa kau sedih?,” tanya Adira kepada pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu.
Sementara itu, usahawan itu memberikan respons bahawa dirinya sudah meningkat usia sekiranya lebih lama mahu merujuk semula.
“Memang kau cakap tetapi lama lagi. Aku ini sudah tua,” balas Datuk Red.
Tidak mendiamkan diri, Adira terus memberitahu tetap setia menunggu lelaki itu menggapai impian sebelum benar-benar membuat keputusan untuk berkahwin semula.
“Awak tengah meningkat naik, kejar cita-cita dahulu. Kita (Adira) dekat sini sahaja jangan risau.
“Kita sibuk cari duit. Kalau keluar hanya untuk bekerja dan terus pulang ke rumah,” jelasnya.
Pada 23 April lalu, penyanyi asal Sabah itu sah bercerai talak satu dengan Datuk Red dan tidak menuntut sebarang nafkah idah dan mutaah kerana memahami kewangan bekas suami.
Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob, yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE