PASIR PUTEH – Seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang meraih 8A, 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memerlukan dana sebanyak RM7,000 untuk melanjutkan pelajaran dalam program asasi kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bapanya, Raja Safari Raja Ibrahim, 43, berkata, Raja Amirul Mukmin, 18, sudah menerima tawaran program dari Pusat Asasi UIAM, Gambang di Pahang dan akan mendaftar pada 15 Julai ini.
“Namun, wang RM7,000 untuk digunakan dalam tempoh setahun program itu termasuk RM2,110 bagi yuran pendaftaran masih belum mencukupi.
“Saya tetap bersyukur kerana ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan kewangan kepada Raja Amirul Mukmin selepas kisahnya dipaparkan akhbar Kosmo! baru-baru ini.
“Setiap sumbangan yang diterima dikumpulkan di dalam akaun bank Raja Amirul Mukmin bagi pembiayaan yuran pendaftaran dan keperluan sepanjang di kampus kelak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Gong Manak, di sini semalam.
Ujar Raja Safari, dia masih optimis untuk dapat mengumpulkan dana RM7,000 sebelum membawa Raja Amirul Mukmin ke Gambang tengah bulan ini.
Dia bagaimanapun tetap bersyukur apabila Raja Amirul Mukmin menerima komputer riba dan pencetak hasil sumbangan orang ramai menerusi pungutan dana Volunteer I Care (VIC) Kelantan dan tajaan pembelian pakaian baharu oleh seorang doktor dari klinik kesihatan.
“Yayasan Bank Rakyat (YBR) ada menghubungi saya semalam (kelmarin) untuk bertemu Raja Amirul Mukmin. Mungkin ada bantuan yang akan diberikan sekali gus membolehkan dia dapat melanjutkan pelajaran ke UIAM,” ujarnya.
Katanya, YBR menerusi Eksekutif Jabatan Perhubungan Awam, Zulfadhli Zafran Mustafa Kamal memaklumkan hasrat yayasan itu untuk menyampaikan sumbangan.
“Sebagai bapa, saya telah berusaha mengumpul sedikit sumber kewangan untuk Raja Amirul meskipun dengan pendapatan yang tidak tetap,” katanya.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, Raja Amirul yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang masih menaruh harapan untuk mendapatkan tajaan pembiayaan pengajiannya ke program asasi dalam bidang kejuruteraan di UIAM.
Raja Amirul Mukmin berkata, hasrat untuk ke menara gading terpaksa diabaikan sekiranya tiada pihak yang sudi membantu.
Menurutnya, kekangan kewangan menjadi faktor utama bagi keluarganya kerana setiap bidang pengajian yang bakal diikuti memerlukan perbelanjaan termasuk yuran pendaftaran dan pengurusan.














