fbpx
Pengambilan makanan ringan secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak. - GAMBAR HIASAN

Jajan dari China dijual depan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Golongan ibu bapa kecewa dengan tindakan sebilangan peniaga yang menjual makanan tidak berkhasiat atau jajan termasuk yang diimport dari China di hadapan sekolah secara berleluasa.

Rata-rata ibu bapa mendakwa, isu itu bagaikan tidak berkesudahan berikutan peniaga tidak bertanggungjawab tersebut sememangnya berniaga dengan menyasarkan murid sekolah sebagai pelanggan tetap mereka.

Tinjauan Kosmo! di lebih 10 sekolah di negeri ini dan Perlis mendapati, kawasan berhampiran sekolah menjadi lokasi pilihan peniaga menjual makanan ringan termasuk sosej, nuget dan minuman berkarbonat.

Malah, lebih mengejutkan ada yang menjual pelbagai jenis jajan dari China berupa jeli, serbuk berperisa buah, gula-gula.

Pengambilan makanan ini secara tidak terkawal antaranya boleh mengakibatkan kanak-kanak mudah merasa lesu, kembung perut, daya ingatan dan kognitif menurun selain meningkatkan risiko obesiti.

Suraya Ahmad, 40, dari Langgar, di sini berkata, dia terkilan dengan sikap segelintir peniaga yang menjual makanan tidak berkhasiat di depan sekolah.

“Makanan tidak berkhasiat seperti sosej, nuget, minuman bergas antara banyak dijual dan menjadi kesukaan pelajar.

“Saya sangat pentingkan pemakanan anak, tiada makanan segera atau makanan ringan di rumah, kalau makan pun mungkin sebulan atau dua bulan sekali. Nuget pun saya buat sendiri di rumah,” katanya baru-baru ini.

Katanya, sebagai ibu bapa, mereka bukan berniat untuk menutup pintu rezeki para peniaga yang cari makan secara kecil-kecilan itu tetapi biarlah makanan dijual itu yang berkhasiat seperti buah-buahan dan kuih muih.

Peniaga pasar, Juraimi Ishak, 33, dari Kubang Pasu dekat sini berkata, dia sering memarahi anaknya yang belajar di darjah empat apabila kerap membawa balik jajan dari China seperti jeli dan serbuk berperisa buah.

“Sudah banyak kali tegur tetapi biasalah budak-budak, kadang-kadang jumpa jajan dalam beg sekolah.

“Saya risau kesihatan mereka. Kesannya kepada kesihatan memang tak nampak sekarang. Se­perti yang kita tahu kanser boleh berlaku akibat amalan pemakanan kurang sihat,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia berharap Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dapat be­kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani isu berkenaan.

Di Perlis, seorang ibu, Isma Seri Ahmad, 36, berkata, tabiat anaknya yang berusia lapan tahun suka membeli makanan ringan semakin menjadi-jadi.

“Keadaan ini berlaku apabila terdapat gerai yang menjual makanan ringan yang tidak berkhasiat wujud berdekatan sekolah.

“Sebelum ini memang ada gerai di hadapan sekolah, namun pengusaha itu telah berpindah ke kawasan lapang berdekatan dan menjadi tumpuan pelajar dari dua buah sekolah lain,” katanya ketika ditemui di sebuah sekolah rendah di Kangar.

Tinjauan mendapati, terdapat sekurang-kurang­nya empat gerai yang beroperasi dalam lingkungan 50 hingga 80 meter dari sekolah rendah dan menengah itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN