fbpx
MAIS menawarkan khidmat menulis wasiat untuk membahagikan harta kepada waris supaya ia tidak memecahbelahkan hubungan ahli keluarga selepas kematian seseorang. – Gambar hiasan

Harta sekecil RM100 masih boleh diwasiatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sejuta penduduk Selangor berusia 30 tahun ke atas mengambil mudah mengenai pembahagian harta mereka apabila hanya 6,000 sahaja yang membuat wasiat secara sah dan selebihnya mahu ia diuruskan melalui pembahagian faraid.

Pengarah Sektor Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor, Indera Shahril Mohd. Shahid berkata, antara faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku ialah kerana sikap tunggu dan lihat selain beranggapan belum sampai ajal.

Katanya, ada yang mendakwa mereka tidak mempunyai apa-apa yang hendak diwasiatkan dan menganggap harta seperti kereta, telefon bimbit dan rumah adalah sebagai hal kecil dan remeh untuk difikirkan.

“Wasiat bukan melibatkan seseorang itu kaya atau miskin tetapi ia perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana wasiat bukan dalam konsep pembahagian harta sahaja.

“Hutang yang belum dilangsaikan yang boleh dinyatakan dalam bentuk pesanan dalam wasiat agar tidak menjadi liabiliti kepada seseorang,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Indera Shahril, hutang perlu diselesaikan oleh wa­ris dan wasiat adalah sebagai panduan untuk menyelesaikannya.

Tambahnya, walaupun harta sekadar RM100 ia masih boleh diwasiatkan kerana mungkin sebahagiannya hendak disedekahkan atau diwarisi.

“Wasiat juga akan digunakan sebagai arahan atau kaedah pentadbiran harta bagi waris bawah umur atau penjagaan kebajikan,” katanya.

Ujar Indera Shahril, waris tidak terikat untuk menyelesaikan hutang sekiranya si mati tidak mempunyai harta, namun ia atas inisiatif sendiri dalam bentuk sumbangan atau sedekah adalah jalan terbaik untuk tujuan itu.

“Wasiat merupakan perbuatan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat bagi menge­lakkan pergeseran hingga memutuskan silaturahim dalam kala­ngan ahli keluarga yang tinggal,” katanya.

Menurut Indera Shahril, jika si mati mempunyai lima anak tetapi harta diberikan kepada seorang sahaja, ia boleh jadi faraid sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada empat yang lain.

“Kalau kurang satu pertiga dan wasiat diberikan kepada bukan waris, yang itu tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Ujar Indera Shahril, orang yang bijak merancang tidak mengambil mudah mengenai hartanya.

“Dalam sesetengah kes, masih ada yang mengamalkan membuat wasiat yang ditulis dalam kertas yang disimpan dalam bantal atau sekadar membuat diari yang diletakkan dalam almari.

“Pemikiran ini perlu diubah kerana wasiat harta pusaka perlu dibuat dengan baik dan ada dokumentasi. Mereka perlu meletakkan segalanya maklumat dan dokumen termasuk hutang dalam satu fail bagi memudahkan pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN