PETALING JAYA – Pengguna kenderaan pacuan empat roda mengakui agak terbeban dengan kenaikan harga diesel seperti diumumkan kerajaaan berhubung rasionalisasi subsidi bahan api itu baru-baru ini, namun reda memandangkan ia satu keperluan untuk urusan kerja dan perniagaan.
Di Ipoh, Perak seorang pengguna kenderaan terbabit, Mohamad Azaman Rosli, 55 berkata, dia menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu untuk mengangkut barangan bagi kerja-kerja di ladang kelapa sawit miliknya.
Katanya, barangan seperti tong racun, guni baja, alatan seperti mesin rumput, penyembur racun dan pekerja diletakkan dalam kenderaan berkenaan dan sekiranya dia ingin bertukar kepada berenjin petrol yang lebih kecil amat tidak sesuai.
Ujarnya, saiz kenderaan lebih besar memudahkan untuk mengangkut barangan dan pekerja selain jalan di ladang sawit agak mencabar dan berbukit.
“Saya agak terbeban dengan kenaikan harga diesel iaitu sebanyak RM3.35 seliter berbanding harga lama RM2.15 seliter memandangkan mempunyai tiga kenderaan pacuan roda jenis Toyota Hilux, namun saya memerlukan kenderaan berenjin diesel yang lasak bagi keperluan kerja seharian.
“Mahu tidak mahu saya reda dengan kenaikan tersebut.
“Kereta jenis ini (Toyota Hilux) juga sesuai untuk perjalanan jauh, jadi saya ‘hadap’ sahajalah walaupun agak tertekan dengan kenaikan ini ,” katanya di sini
semalam.
Dalam pada itu, di Sungai Petani, Kedah seorang peniaga, Noor Ashikin Abdul Rahim, 30, yang merupakan pengguna kenderaan pacuan empat roda mengakui turut mengakui terbeban dengan kenaikan harga diesel baru-baru ini.
Katanya, dia bagaimanapun tidak berhasrat untuk menukar kenderaan pacuan empat roda tersebut dengan kenderaan lain memandangkan ia memudahkannya dalam urusan kerja.
“Sekarang memang rasa sangat terbeban sebab kenaikan diesel terlalu tinggi.
“Saya tiada pilihan lain dan reda dengan keadaan semasa kerana memang kenderaan itu sudah jadi keperluan untuk berniaga. Kalau ada kenderaan pacuan empat roda yang guna petrol, saya akan tukar,” ujarnya.
Tambahnya, dia terpaksa menanggung kenaikan tambahan kira-kira RM150 sebulan.














