fbpx
AUNI tabah menjalani kehidupan walaupun diuji berkali-kali dengan pelbagai ujian.

Diuji Ilahi, Auni Afiqah tetap murah senyuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN hidup insan istimewa ini tidak sama dengan yang lain.

Disahkan menghidap kegagalan buah pinggang tahap akhir sejak berusia empat tahun membuatkan hidupnya gelap seketika.

Di usia sebegitu mentah, apalah yang dia mampu faham dengan ‘anugerah’ yang diberikan Allah itu.

Lebih malang, disebabkan penyakit tersebut, anak jati Rawang, Selangor ini yang dilahirkan kerdil terpaksa menjalani rawatan dialisis (cuci darah) sepanjang hayat tiga kali seminggu di hospital.

Tidak setakat itu, hidupnya diuji sekali lagi apabila dia disahkan menghidap barah tiroid dan masalah kemurungan sejak 2018.

Tahun yang sama, dia juga menerima ujian getir apabila suaminya, Norzam Iskandar Nor Idris yang menghidap penyakit Muscular Dystrophy (menyebabkan otot lemah dan tulang badan belakang membengkok) mengalami angin ahmar.

Kisah hidup pemilik nama lengkap Auni Afiqah Muthal’lib, 34, ini bersama suaminya pernah tular di media sosial terutama di TikTok sekitar 2021 yang memperlihatkan kesungguhan dan kemesraan dua pasangan pesakit kronik menjaga satu sama lain.

Video yang dikongsikan Auni ketika sedang membantu suaminya supaya bangun, duduk di atas kerusi dan berdiri di sisi kereta sampai memasuki kenderaan tersebut untuk dihantar ke hospital menjalani dialisis menyentuh hati banyak pihak.

Lebih memilukan, kini suaminya itu sudah tiada. Lelaki itu kembali ke pangkuan Ilahi Mac lalu.

“Mungkin kerana saya sudah diuji sejak kecil lagi, saya belajar untuk terus bangkit daripada pengalaman.

“Saya sentiasa menjadi ‘kawan’ kepada diri sendiri supaya saya tetap kuat dan semangat.

“Kita perlu bermula daripada diri sendiri kerana diri sendiri adalah tunggak utama untuk terus melawan segala emosi negatif,” katanya sebagai mukadimah kepada Aura.

Tidak pernah lekang dengan senyuman dan sentiasa dikenali pengikut dalam TikTok sebagai seorang yang ceria, pempengaruh itu mengakui perkara tersebut tetapi kadangkala dia boleh bertukar menjadi insan yang terlalu sensitif.

Berkongsi kisah hidupnya bersama suami, anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, dia berkenalan dengan arwah suaminya di Facebook pada awal tahun 2013 sebelum bernikah pada Jun tahun sama.

Ketika itu, dia mendapat tahu suaminya itu merupakan seorang pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) fizikal.

“Apa yang saya tahu, dia (suami) mula sakit selepas akil baligh. Doktor diagnosis dia sebagai Limb-Girdle Muscular Dystrophy.

“Arwah suami juga pernah diserang angin ahmar ringan pada tahun 2018. Tahun sama juga saya diberitahu ada kanser. Hidup rasa gelap, saya rasa patah kaki sehingga mengalami kemurungan yang amat teruk.

“Paling perit ketika suami diambil Mac baru-baru ini. Asalnya arwah suami hanya batuk, kemudian sesak nafas teruk hingga dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital

Selayang sebelum disahkan meninggal dunia,” tuturnya.

Pernah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog dan bekerja sebagai perunding kecantikan selain mula aktif di TikTok sejak April 2021, Auni reda dengan apa yang menimpanya dan hanya mampu berlapang dada.

Baginya, dia bersyukur kerana masih dikurniakan seorang ibu dan adik- beradik yang begitu memahami dan menerima segala kekurangan dirinya.

“Sumber inspirasi untuk saya terus hidup dan kuat tentulah ibu dan arwah suami. Mereka adalah pemangkin semangat untuk saya, kerana mereka juga pernah diuji dan mengalami trauma. Namun, mereka tidak pernah mengeluh. Mereka reda dengan apa saja yang Allah berikan, bahkan sentiasa tersenyum.

“Mereka juga sentiasa memberi kata-kata perangsang untuk saya terus kuat menjalani hidup.

“Selepas suami meninggal dunia, ibu saya tetap kuat dan kekal menjadi penguat semangat saya. Kerana selepas kematian suami, saya hampir rebah seakan-akan sudah tiada masa depan,” ujarnya.

Pun begitu, walaupun hidup bersederhana dan langsung tidak pernah mengusik orang, tempias sebagai pempengaruh dan orang dikenali tetap tidak boleh dielak.

Akui Auni yang miliki 317,000 pengikut, dia sama seperti pempengaruh lain yang turut terpaksa cuba untuk memuaskan hati semua.

“Kecaman itu adalah lumrah. Saya suka melayani kecaman dengan cara positif sahaja.

“Paling terkesan ada pengikut yang tegur saya supaya jangan tunjuk bahagia (ketika suami hidup) sedangkan niat saya dengan perkongsian kecil itu dapat membantu orang lain bersemangat.

“Sebelumnya ada juga hamba Allah yang mendoakan saya dan suami mati cepat. Ada yang menganggap saya terlalu beria bila buat konten.

“Alhamdulillah, saya masih mampu buat live (siaran langsung) walaupun ada saja cemuhan,” katanya.

Ditebak sumber pendapatannya kini, Auni mengakui dia tidak lagi mampu fokus sebagai perunding kecantikan dan sumber pendapatan sepenuhnya hanya sebagai affiliate (ejen jualan dan promosi) di TikTok.

“Bercakap dari segi kos rawatan, buat masa ini semuanya saya tanggung sendiri dan hanya dicaj RM28 setiap sesi. Saya perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak 12 kali sebulan,” katanya.

Sekali lagi diaju mengenai perancangan masa depannya mengharungi kehidupan sebagai pejuang penyakit kronik, Auni berkata, dia sehingga kini cuba berdikari sejak kehilangan suami.

“Sumpah asalnya saya sedih dengan peranan seorang balu itu. Saya seperti hilang kewarasan. Namun, saya cuba bangkit dan biasakan diri berfikir perkara yang baik-baik.

“Saya juga membiasakan diri buat segala perkara secara rutin. Saya cuba berdikari sejak kehilangan suami. Saya ingin fokus kepada kesihatan diri sendiri.

“Impian saya adalah ingin menjadi seorang yang lebih baik daripada sebelum ini. Ada rezeki, mungkin saya akan membuka perniagaan sendiri dan doakan saya mampu lakukan,” katanya.

Bukan mahu meminta simpati atau bersedih sepanjang masa, Auni turut menitipkan pesanan buat mereka yang sedang diuji perkara sama sepertinya terutama wanita.

Ujarnya, dia begitu faham untuk bangkit daripada ujian bukanlah perkara mudah dan mengambil masa. Pun begitu, anggaplah segala ujian adalah ‘hadiah’ daripada Allah.

“Saya suka praktik rasa bersyukur atas setiap perkara baik atau kurang baik, walaupun ujian itu berat.

“Alhamdulillah sikit sebanyak beri ketenangan kepada diri saya, supaya mampu lebih berdamai dengan takdir.

“Hiduplah seperti kita akan mati esok. Raikanlah apa saja yang berlaku dengan rasa bersyukur. Boleh saja untuk merasa sedih, tapi cubalah bangkit walaupun rasa berat,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN