BANYAK sangat kisah sedih yang berlaku sepanjang musim Hari Raya Aidiladha baru-baru ini. Ia berkisah tentang kisah kematian akibat nahas jalan raya.
Berbeza seperti hari-hari kebiasaannya, kematian pada musim perayaan begitu meruntun jiwa lebih-lebih lagi jika melibatkan ahli keluarga yang ramai.
Lihat bagaimana seorang ayah di Yan, Kedah yang melalui ‘kehilangan’ yang sangat besar apabila dua anaknya maut dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta. Kejadian menyayat hati itu berlaku sehari sebelum umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha.
Kisah sedih turut berlaku di Hulu Terengganu. Kali ini melibatkan dua sahabat baik yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagur. Mereka juga terkorban dalam nahas motosikal.
Berbeza dengan kejadian di Lahad Datu, Sabah yang melibatkan seorang pemandu lelaki. Bagi kes ini, si mangsa maut selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika dia berada di tengah jalan raya selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan.
Satu lagi kisah yang mengejutkan berlaku di Kuala Lumpur, juga melibatkan seorang pemandu kereta.
Kejadian yang jarang-jarang berlaku ini mengorbankan mangsa lelaki apabila kereta yang dipandu melanggar seekor lembu dipercayai terlepas dari sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Plaza Tol Jalan Duta.
Ironinya, paparan kejadian-kejadian ini hanyalah sebahagian kecil daripada ribuan nahas yang berlaku setiap hari.
Berdasarkan statistik dikongsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di media sosial, angka kematian dalam tempoh seminggu bermula 12 Jun 2024 hingga 18 Jun 2024 adalah seramai 109 orang. Ia melibatkan keseluruhan 11,653 kes yang berlaku di seluruh negara.
Jika melihat lebih lanjut, kes kematian tertinggi dalam tempoh berkenaan direkodkan pada 15 Jun (19 kematian), 16 Jun (21 kematian) dan 18 Jun iaitu sebanyak 18 kematian.
Tiga hari berkenaan merupakan hari kemuncak ketika orang ramai pulang ke kampung untuk beraya dan balik semula ke rumah sebelum sesi cuti persekolahan berakhir.
Sama ada ia secara kebetulan ataupun tidak, angka-angka tersebut menjadi bukti betapa serius dan tingginya risiko kemalangan jalan raya di Malaysia.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut berkongsi mengenai statistik kemalangan sepanjang tahun lalu yang mana rumusannya sangat mengejutkan.
Menurut beliau, Malaysia mencatatkan purata 18 kematian sehari atau bersamaan satu kematian bagi setiap 80 minit akibat kemalangan pada tahun lalu dengan sebahagian besar adalah melibatkan pengguna motosikal.
Secara keseluruhan katanya, jumlah kematian yang dicatatkan pada 2023 adalah 6,443 orang,iaitu rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Hakikatnya, kemalangan sebenarnya boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia tidak hanya berlaku ketika musim perayaan atau cuti persekolahan.
Bagaimanapun, kehilangan seseorang yang disayangi pada hari istimewa pastinya sukar dilupakan, lebih-lebih lagi ketika insan lain bergembira bersama keluarga tercinta.














