RAMAI, bukan sedikit jumlah penggiat seni tanah air veteran yang ketika ini menagih ihsan bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan.
Itu yang sering penulis dengar hampir setiap hari, pasti ada sahaja muncul nama selebriti veteran yang memerlukan bantuan bagi meneruskan sisa kehidupan.
Ada yang kais pagi makan pagi, bahkan terdapat juga menerima bayaran lakonan atau undangan nyanyian tidak berbaloi dengan pengalaman dimiliki.
Lebih hina dan rasa simpati memuncak ada yang dibayar kurang RM200 untuk satu persembahan atau lakonan bagi sebuah babak.
Paling memilukan hati apabila ialah segelintir penggiat seni veteran yang masih berjuang untuk kelangsungan hidup turut menghidapi pelbagai penyakit kronik dan dihimpit kemiskinan.
Begitulah keperitan yang dilalui segelintir penggiat seni veteran hari ini. Jika dilihat, ramai mula memilih jalan sendiri dengan membuat persembahan busking di jalanan sebagai sumber pendapatan mereka.
Adakalanya, penulis sendiri terfikir adakah pengorbanan, jasa dan keringat yang ditabur mereka hanya akan dikenang atau dijulang selepas nyawa ditarik Tuhan?
Seperti memahami kesulitan yang dilalui, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengambil inisiatifnya sendiri dengan menggerakkan bantuan berterusan terhadap penggiat seni veteran memerlukan bantuan.
Katanya, usaha tersebut bagi memastikan tiada penggiat seni yang terpinggir atau dilupakan.
“Suatu ketika dulu mereka pernah menabur jasa dan keringat bagi menghiburkan masyarakat.
“Semua bentuk bantuan ini akan dilakukan dengan beberapa cara dan terus meneliti secara berterusan bagi membantu mereka.
“Tak mahu veteran dalam bidang muzik ini hanya diingati pada zaman keemasan sahaja. Hakikatnya karya muzik mereka perlu dikenang seperti jasa mereka juga,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pangkalan data yang lengkap juga perlu ditubuhkan bagi memastikan tiada nama yang tercicir.
“Kita perlu ada pangkalan data yang lebih lengkap dan saya sebelum ini ada bekerjasama dengan pihak karyawan untuk menyantuni sejumlah artis veteran.
“Segala usaha ini juga dipanjangkan kepada pihak berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk membantu mereka yang terlibat dalam bidang perfileman.
“Bagi pemuzik pula seperti saya lihat penyanyi Zaiton Sameon berkaitan isu royalti. Jadi semua itu kami akan teliti bagi dia dapat haknya,” tuturnya.
Tambah Fahmi, segala bentuk bantuan dan usaha yang dihulurkan juga seiring dengan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap individu yang pernah sama-sama membentuk seni dan budaya negara ini.
“Semua usaha tersebut juga seiring dengan keprihatinan Perdana Menteri kerana sangat mengenang jasa individu yang turut terlibat dalam membina budaya dalam negara kita termasuk bidang sastera, sukan, muzik dan filem.
“Harapnya mereka tidak hanya dikenang selepas tiada lagi di dunia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














