SIAPA sangka, kelewatan kenderaan Grab menjemputnya pada malam itu membawa tuah kepada susuk bernama Prakash Surriyamurthy.
Pemuda orang kelainan upaya (OKU) penglihatan itu telah disapa oleh pengacara dan personaliti media tempatan, Anis Nabilah setelah melihatnya berlegar-legar di tepi jalan pada pukul 1 pagi.
Wanita yang juga seorang cef selebriti itu telah mempelawa Prakash untuk dihantar pulang dan berkongsi perbualan mereka di media sosial miliknya.
Ternyata, kisah guru berusia 42 tahun itu tular kerana rata-rata netizen kagum dengan kecekalannya mencari rezeki seorang diri di ibu kota.
Mengimbau kembali kisah pada malam tersebut, Prakash akui, dia tidak menyangka wanita yang menghantarnya pulang adalah seorang selebriti.
“Saya sudah lakukan tugas mengajar tuisyen dari rumah ke rumah sejak 2009, namun saya tidak sangka kisah saya boleh tular.
“Saya bersyukur dan berharap kisah saya dapat membuktikan bahawa OKU juga mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemu bual di pejabat Media Mulia, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Sedikit latar belakang, Prakash merupakan anak sulung daripada dua beradik dan satu-satunya OKU dalam keluarga berasal dari Masai, Johor itu.
Dilahirkan cukup sifat, namun Prakash kehilangan keupayaan untuk melihat seawal usia dua bulan akibat diserang penyakit retinoblastoma.
Untuk pengetahuan, retinoblastoma adalah sejenis kanser mata yang bermula sebagai pertumbuhan sel dalam retina.

Dalam kebanyakan kes, biji mata pesakit akan dibuang bagi mengelak kanser tersebut merebak lebih jauh.
Biarpun diberi ujian berat, namun Prakash dikurniakan ibu bapa yang percaya akan keupayaannya.
Buktinya, dia dihantar ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak serta menyertai program pencantuman pelajar OKU dan biasa di SMK St. John ketika tingkatan enam.
Katanya, mereka sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur kerana bapanya mendapat pekerjaan di ibu kota.
“Ketika itu, hanya ada tiga sekolah pendidikan khas di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
“Di sekolah pendidikan khas, saya mempelajari semua ilmu mengikut silibus sama seperti sekolah biasa, kecuali bagi Matematik,” katanya.
Berkat kepercayaan ibu bapanya, Prakash menjadi ahli pertama dalam keluarganya yang dapat melanjutkan pengajian ke menara gading setelah mendapat tawaran daripada Universiti Malaya (UM).
Kini, Prakash merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kaunseling dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu.

Biarpun kejayaannya dalam bidang akademik boleh dikategorikan sebagai cemerlang, namun bukan mudah untuknya memasuki pasaran kerja.
Bahkan, lelaki itu pernah gagal dalam lebih 200 temu duga pekerjaan dan terpaksa bekerja sambilan demi kelangsungan hidup.
“Saya dapat tawaran untuk membantu murid di badan bukan kerajaan (NGO), Educational, Welfare & Research Foundation Malaysia (EWRF).
“Mereka adalah pelajar-pelajar bukan Melayu yang tercicir dalam pendidikan formal terutama dalam subjek Bahasa Melayu.
“Dari situ, saya mula asah kebolehan mengajar saya. Sejak itu, saya menjadi cikgu tuisyen peribadi kepada pelajar yang lemah subjek Sejarah dan Bahasa Melayu,” katanya.
Di Malaysia, sekolah vernakular terdiri daripada beberapa jenis, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Menengah Persendirian Cina.
Silibus pengajian Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular memiliki tahap kesukaran yang lebih rendah berbanding Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK).
Perkara tersebut mengakibatkan ramai pelajar daripada sekolah vernakular menghadapi kesukaran apabila melanjutkan pengajian di peringkat sekolah menengah.
Pendidikan di sekolah menengah memiliki tahap kesukaran yang setara kerana mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lebih mencabar, Bahasa Melayu dan Sejarah merupakan subjek wajib lulus calon kepada SPM.
Calon-calon perlu mendapatkan keputusan minimum kredit (Gred C) untuk kemasukan ke universiti.
Memahami kesukaran yang dihadapi pelajar vernakular, Prakash nekad membantu mereka untuk menguasai dua subjek penting itu.
“Sebagai seorang bukan Melayu, saya pernah diherdik guru kerana menulis karangan bahasa Melayu dengan ciri-ciri ‘ke-India-an’.
“Saya juga faham kebanyakan mereka tidak memiliki ibu bapa yang mahir dalam bahasa tersebut.
“Pada saya, kedua-dua subjek itu memiliki kepentingan lebih daripada sekadar SPM. Ia juga identiti sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Hasil kesungguhan Prakash, lebih 20 pelajar daripada sekolah vernakular sudah dibantunya sepanjang 15 tahun bergelar guru tuisyen peribadi.
Salah seorang murid Prakash, Harshinee Dewi bersyukur, rakannya memperkenalkan guru tersebut enam bulan sebelum SPM tahun lalu.
Gadis itu sering gagal dalam subjek Sejarah, namun setelah belajar secara intensif dan penerangan yang jelas oleh Prakash, Harshinee mendapat keputusan B+ dalam SPM baru-baru ini.
“Teknik penceritaan Prakash, nota dalam bentuk bertulis serta latihan yang disediakan pada setiap hari membantu pemahaman saya,” katanya sebelum menutup bicara.














