fbpx
Gary Arndt (kiri) yang pernah digelar 'Mr. UNESCO' oleh CNN telah melawat 412 Tapak Warisan Dunia UNESCO di lebih 160 negara. Sementara itu, di Malaysia, Alex Goh Shaw Peng baru-baru ini diiktiraf Malaysia Book Of Records sebagai rakyat Malaysia melawat ke Tapak Warisan Dunia UNESCO terbanyak iaitu 255 lokasi.

Minat luar biasa ‘buru’ Tapak-Tapak Warisan Dunia UNESCO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEHINGGA kini, terdapat 1,199 Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di 168 buah negara.

Lokasi bersejarah sebegini mungkin bukanlah tempat yang ‘menghiburkan’ bagi mereka yang melancong ke sesebuah negara, namun lain pula kisahnya dengan pencinta sejarah, Gary Arndt, 55, yang sentiasa teruja dalam misinya memburu sebanyak mungkin tapak warisan dunia untuk dikunjungi.

Sehingga tahun 2023, anak kelahiran Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) itu sudah melawat 412 tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO di lebih 160 negara. Bahkan, CNN turut memberi gelaran ‘Mr. UNESCO’ kepada Arndt dek minat luar biasanya terhadap lokasi-lokasi penting ini.

Antara lokasi yang sudah dilawatinya termasuk Piramid Giza, Mesir; Taman Negara Grand Canyon, AS; Taman Negara Rapa Nui, Chile; Monumen Zaman Pertengahan, Serbia; Gereja Notre Dame, Perancis; Taman Keamanan Hiroshima, Jepun; Taj Mahal dan Kubu Agra, India; Angkor Wat, Cambodia; Candi Prambanan, Indonesia; Taman Negara Kinabalu, Taman Negara Mulu dan bandar raya bersejarah Melaka, Malaysia.

Menurut Arndt, misinya itu sebenarnya bermula tanpa sengaja selepas dia melawat tapak UNESCO pertamanya iaitu Taman Negara Gunung Berapi Hawaii.

“Saya tidak pasti sama ada saya sedar atau pun tidak tentang kewujudan senarai tapak warisan dunia UNESCO untuk dikunjungi, sehinggalah saya tiba ke Taman Negara Gunung Berapi Hawaii, yang masuk senarai tapak warisan dunia pertama yang saya jejaki pada 2007.

“Selepas mengembara selama beberapa bulan, saya menuju ke New Zealand pula dan turut memasukkan dua lokasi tapak warisan dunia di negara itu sebagai lokasi yang ingin saya lawati.

“Kemudian, saya melawat Timur Rennel di Kepulauan Solomon, Oceania yang juga tapak warisan dunia paling jarang dilawati,” katanya dalam temu bual bersama media antarabangsa.

Bertitik tolak dari situ, Arndt memutuskan untuk membuat lawatan bermakna ke seberapa banyak tapak warisan dunia dan mendokumentasi perjalanannya itu kepada pembaca blog tulisannya, Everything-Everywhere.com.

Bahkan, keterujaannya begitu membara sehingga membuat keputusan drastik dengan menjual rumahnya pada 2007 dan sejak dari itu, dia mula mengembara untuk melihat dunia.

Bercerita tentang tapak UNESCO kegemarannya, Arndt memberitahu tapak yang menyerlah dan menarik perhatiannya adalah tapak yang tidak begitu popular.

“Pada 2014, saya melawat Taman Negara Nahanni di Kanada yang saya sifatkan amat mengagumkan. Ia merupakan salah satu daripada 12 buah Tapak Warisan Dunia yang pertama kali disenaraikan pada 1978, namun tidak ramai yang tahu tentangnya.

“Taman Negara Purnululu di Australia Barat dan Taman Negara Mulu, Sarawak juga dalam kategori taman negara terhebat,” katanya.

ARNDT membidik foto di tempat-tempat kunjungannya.

Kongsinya, untuk beberapa tahun pertama, dia mengembara dengan menggunakan wang yang diperolehnya daripada hasil jualan rumah dan juga perniagaan yang pernah diusahakan.

Kini, Arndt menjana pendapatan menerusi blog dan media sosial, jualan foto selain turut mendapat tajaan daripada lembaga pelancongan dari beberapa buah negara.

“Di setiap tapak warisan dunia yang saya pergi, saya akan berusaha untuk mewujudkan pengalaman lawatan yang bermakna dan saya akan membidik sekurang-kurangnya sekeping gambar mewakili tempat itu,” katanya.

Sementara itu, Malaysia juga miliki ‘Mr. UNESCO’ versi negara ini sendiri iaitu anak kelahiran Muar, Johor, Alex Goh Shaw Peng yang baru-baru ini menerima pengiktirafan oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai rakyat

Malaysia yang mengunjungi Tapak Warisan Dunia UNESCO terbanyak iaitu 255 tapak membabitkan 35 buah negara, selain satu lagi rekod iaitu rakyat Malaysia pertama lengkap menyertai 10 acara maraton terbaik dunia.

Pencapaian mengagumkan lelaki berusia 63 tahun itu dikongsikan di media sosial Malaysia Book of Records.

GOH bergambar di Xanadu World Heritage di China. – FACEBOOK ALEX GOH

Kongsi Goh menerusi Facebook, minatnya untuk meneroka dunia timbul pada usia yang muda.

“Sejak kecil lagi, saya sudah ada keinginan untuk mencari kebenaran tentang sesuatu yang baharu atau apa sahaja monumen bersejarah di dunia.

“Selain itu, minat terhadap dunia fotografi beserta pengalaman bekerja di dalam dan luar negara selama lebih 40 tahun juga menjadikan saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengembara melihat dunia,” katanya.

Begitu pun, Goh berkata, misi utamanya dalam melawati tapak-tapak warisan dunia bukanlah untuk bersaing dengan sesiapa mahupun mencipta rekod, namun Goh hanya mahu terus menghidupkan warisan dunia.

Goh cukup berminat untuk mendalami sejarah dan geografi sesebuah tempat yang seterusnya menjadi pendorongnya untuk memburu kawasan-kawasan menarik ini.

“Saya selalu terfikir, apakah yang menyebabkan sesebuah tempat atau kawasan itu dinamakan sebagai sebuah tapak warisan sejarah? Ia merupakan satu gelaran yang cukup berprestij.

“Ia menjadikan saya tertanya-tanya, apa kelayakan tempat itu untuk digelar tapak warisan sejarah dan apakah kisah atau pun cerita di sebaliknya?

“Selepas sampai ke tempat-tempat ini, saya belajar cerita di sebaliknya dan daripada situ, perasaan ingin tahu saya itu seterusnya bertukar menjadi minat yang cukup mendalam,” katanya.

Biarpun adakalanya tapak warisan dunia dilawatinya cumalah satu padang kosong yang mungkin terlihat membosankan oleh para pelancong lain, namun bagi ‘heritage hunter’ sepertinya, peluang lihat kawasan itu secara dekat tetap satu peluang yang mengujakan.

Goh berkata, dia juga belum mahu berhenti meneroka dunia memandangkan masih banyak lagi yang mahu dilihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN