fbpx

Airod Malaysia,ASFAT tingkat kerjasama maju sektor pertahanan aeroangkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled bersama Yasar Guler (duduk) pada sesi bergambar pada majlis menandatangani CFA antara Airod dan Asfat di Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye (MoND) di Ankara hari ini.- Foto oleh FAUZI BAHARUDIN

ANKARA, Turkiye- Airod Sdn. Bhd. (Airod Malaysia) dan ASFAT Incorporated Military Factory and Shipyard Management (ASFAT) terus bekerjasama bagi memajukan keupayaan pertahanan aeroangkasa khususnya melibatkan kategori pesawat seperti A400M, S -70A, CN-235 dan C-130.

Perkongsian antara Airod Malaysia dan ASFAT juga terus diperkukuh selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama (CFA) yang diadakan di Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye (MoND), di sini hari ini.

Perjanjian CFA itu turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan rakan sejawatnya iaitu Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler.

Menurut Presiden Kumpulan dan Pengarah Airod Malaysia, Datuk Edron H. Ahmad, perkongsian CFA itu berperanan memacu pertumbuhan sektor pertahanan penerbangan selain memenuhi permintaan industri dan piawaian antarabangsa di peringkat serantau.

“Perkongsian terbabit juga mewakili satu lagi peristiwa penting dalam usaha berterusan ke arah kepakaran kejuruteraan dan peningkatan keupayaan pertahanan sektor aeroangkasa negara.

“Kerjasama itu akan memudahkan pertukaran pengalaman dan keupayaan berharga, seterusnya membawa kepada manfaat bersama untuk kedua-dua organisasi dan pengguna akhir kedua-dua negara,” katanya.

Sebelum ini, Airod Malaysia dan ASFAT turut menandatangani Memorandum Persefahaman pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023.

Mengulas lanjut, Edron berkata, kedua-dua pihak turut memberi komitmen penuh bagi melaksanakan kerjasama itu, seterusnya menonjolkan peluang strategik untuk meningkatkan aspek pertahanan aeroangkasa.

Katanya, kerjasama itu juga akan menggabungkan keupayaan kejuruteraan pertahanan antara Turki dan Malaysia selain meningkatkan inovasi dalam aktiviti MRO-U.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kerjasama berkenaan juga bakal mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia-Turkiye selain meningkatkan industri pertahanan penerbangan negara secara lebih tinggi.

“Tumpuan kepada pertukaran membina keupayaan merentasi pelbagai platform pesawat turut mempamerkan dedikasi kedua-dua negara untuk kekal di hadapan dalam industri.

“Secara keseluruhan, perkongsian antara ASFAT dan Airod bakal membawa kemajuan ketara kepada industri aeroangkasa dan memupuk pertumbuhan serta kejayaan bersama bagi kedua-dua negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI