fbpx

Saya masih mewakili ibu Zayn Rayyan – Mahmud Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahmud (kanan).

PETALING JAYA – Peguam Mahmud Abdul Jumaat memaklumkan beliau masih mewakili ibu kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh anaknya itu.

Perkara itu dimaklumkan Mahmud menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya yang mana keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangannya selepas berjumpa dengan keluarga tersebut.

Mahmud menjelaskan, beliau seperti rakyat Malaysia yang lain menginginkan keadilan terhadap arwah Zayn Rayyan yang dibunuh dan diseksa secara kejam.

“Kerana itulah saya agak hairan berkenaan dengan kenyataan media yang dibuat oleh datuk arwah tempoh hari tentang tiada perlantikan peguam secara rasmi oleh keluarga ke atas saya.

“Perlu ke sampai nak buat kenyataan media? Seolah-olah sengaja melakukan provokasi terhadap saya,” katanya hari ini.

Pada 4 Jun lalu, Mahmud yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan mengambil keputusan menarik diri sebagai peguam pasangan itu berikutan mahu memberi tumpuan kepada beberapa kes lain yang sedang dikendalikannya.

Mahmud berkata, tiada langsung isu salah faham membabitkan pihaknya, media mahupun keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.

“Pada 31 Mei, saya telah dihubungi oleh keluarga bapa Zayn Rayyan pada pukul 11 malam (Jumaat) dikhabarkan bahawa ibu bapa arwah Zayn Rayyan (Zaim dan Isma) telah ditahan pagi Jumaat dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman keesokkan harinya.

“Saya ingin tekankan bahawa ini bukan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri. Entah dari mana cerita bahawa saya ini dari NGO?” soalnya.

Mengulas mengenai surat pelantikan rasmi, Mahmud berkata, beliau tidak terfikir ia bakal menjadi satu isu yang akan dibangkitkan oleh pihak keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.

Menurutnya, tiada kewajipan untuk surat perlantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah asalkan pihak orang yang disyaki (OYDS) atau wakil keluarga setuju untuk melantik peguam tersebut.

“Saya dengan suci hati niat ingin membantu kesian mereka ini, dah lah kehilangan anak, direman menjadi OYDS pula, besar dugaan mereka.

“Apatah lagi sebelum saya masuk ke dalam mahkamah, telah saya sahkan dengan keluarga ibu bapa sendiri untuk memberikan amanah ini kepada saya bagi bantahan reman.

“Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa saya memang ada di mahkamah pada hari tersebut, hanya kami peguam yang dipanggil oleh keluarga mereka. Kalau tak lantik kami, kami dipanggil untuk jadi apa?” jelasnya.

Sehubungan itu, Mahmud berkata, datuk Zayn Rayyan telah meminta untuk berjumpa dan berbincang dengan beliau berhubung kes berkenaan di pejabatnya.

“Selepas perjumpaan tersebut keesokannya saya telah membuat keputusan untuk tidak mewakili mereka lagi atas sebab-sebab tertentu.

“Tiba-tiba saya menerima berita bahawa saya tidak pernah dilantik untuk menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan.

“Bagi saya ini adalah fitnah. Saya datang mahkamah tempoh hari tersebut untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah? Keluarga Zaim terutama ibu Zaim sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Mahmud, beliau telah dihubungi oleh datuk arwah Zayn Rayyan melalui aplikasi WhatsApp yang menyatakan permohonan maaf tentang apa yang berlaku.

Justeru katanya, beliau masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan dan telah hadir ke mahkamah tempoh hari untuk mewakilinya.

“Apapun saya ucapkan terima kasih kepada keluarga Isma atas pencerahan yang dibuat dengan mengesahkan bahawa kami sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes.

“Orang berbudi kita berbahasa. Kalau tidak mahu ucapkan terima kasih sekalipun sekurang-kurangnya janganlah kita sakiti hati orang membantu kita,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI