Nama Nyak Allyssa bukanlah asing dalam dunia persolekan, malah kemampuannya merias diri dan menggunakan produk kosmetik tempatan berjaya membantunya untuk membentuk kelompok peminat sendiri di media sosial.
Tidak keterlaluan, pengaruh yang dicipta itu turut mendorong dirinya untuk menceburi bidang penghasilan produk kosmetik dengan jenama tersendiri.
Lebih mesra disapa Lisa, pemilik nama penuh Nyak Allyssa Natalia Nyak Zurimin berusia 24 tahun itu turut bertuah kerana memiliki kecantikan semulajadi hasil darah campuran New Zealand dan Sri Lanka yang dimilikinya.
Mengisi segmen Pesona Ahad minggu ini, Lisa sebenarnya memberanikan diri untuk mencuba bidang kosmetik setelah lima tahun dalam kerjaya seorang barista sehingga mencapai tahap coffee master.
KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan berkenaan diri anda?
LISA: Lahir di Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Gelaran Nyak diawal nama kerana saya mempunyai keturunan bangsawan Aceh di sebelah bapa, manakala ibu dari Sri Lanka.
Tiga perkataan menggambarkan diri anda?
Penyayang, optimis di mana saya memiliki pandangan atau harapan yang positif terhadap masa depan. Saya juga senang untuk diajak bergaul.
Pengalaman bercinta?
Saya yang jatuh hati dulu dan ambil keputusan untuk meluahkan perasaan kepadanya. Setahun merupakan tempoh untuk saya cuba memikat hatinya. Dia sebenarnya masih menumpukan pada kerjaya dan kini kami sudah ‘bercinta’ hampir setahun.
Pernah alami trauma?
Saya pernah jatuh motosikal ketika dalam perjalanan mengambil kawan. Mujur saya hanya cedera ringan tetapi meninggalkan parut kecil di tangan kiri.
Tiga aktiviti masa lapang?
Memasak, melukis dan bersolek. Paling cepat 20 minit siap bersolek.
Bagaimana berkecimpung dalam dunia bisnes?
Saya suka berkongsi tentang solekan, selain cara bersolek sebelum ke tempat kerja. Tidak sangka ramai suka dan itu detik permulaan saya keluarkan produk sendiri.
Impian ada?
Pada masa hadapan, saya mahu memiliki sebuah kedai kosmetik sendiri dan mengeluarkan lebih banyak produk jenama sendiri.
Cabaran terbesar?
Modal. Setiap kali mahu keluarkan produk baharu, saya perlukan sejumlah wang yang besar untuk kajian dan sebagainya. Saya akan keluarkan produk yang sesuai untuk semua peringkat umur. Setiap produk pastinya dapat kelulusan pihak berwajib.
Pesanan kepada lepasan SPM?
Bagi saya, SPM bukanlah penamat segalanya malah ia adalah permulaan bagi masa depan yang lebih cemerlang. Paling penting setiap keputusan diambil perlu disertakan dengan usaha bersungguh-sungguh, pasti kejayaan menanti di hadapan.
Ciri lelaki idaman?
Saya idamkan lelaki yang sopan santun dari segi percakapan dan perbuatannya serta menghormati keluarga saya. Paling penting, lelaki itu mempunyai perancangan untuk dirinya dan keluarga barunya nanti.














