PRAGUE – Empat orang terbunuh dan dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila sebuah kereta api ekspres bertembung dengan kereta api barang di bandar Pardubice, Republik Czech, kata seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan.
“Saya boleh mengesahka empat orang telah terkorban,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan tempatan, Alena Kisiala kepada stesen penyiaran Czech TV.
Kemalangan berlaku sejurus sebelum pukul 7 pagi (waktu Malaysia) hari ini berhampiran stesen kereta api utama di Pardubice, kira-kira 100 kilometer ke timur ibu negara Republik Czech, Prague.
Kereta api ekspres itu membawa lebih 300 penumpang, kebanyakan mereka warga asing, tambahnya.
Perdana Menteri Petr Fiala mengucapkan takziah di platform X dan berkata, nahas itu adalah ‘bencana besar’ dan ‘kita semua memikirkan nasib mangsa dan yang cedera’.
Menteri Dalam Negeri Vit Rakusan pula memberitahu, majoriti mangsa mengalami cedera ringan dan penumpang telah dipindahkan ke bangunan stesen kereta api.
Kereta api ekspres yang dikendalikan oleh syarikat swasta, Regiojet itu sedang menuju ke bandar Chop di barat Ukraine, dekat sempadan Slovakia.
Kereta api itu dijangka tiba di Chop pukul 5.35 petang ini (waktu Malaysia) selepas menyeberangi Slovakia.
Rakaman stesen televisyen tempatan menunjukkan sekurang-kurangnya sebuah gerabak tergelincir dan sebilangan penumpang dibawa masuk ke dalam bas berhampiran stesen utama Pardubice.
Pasukan penyelamat berkata, sembilan van ambulans, dua helikopter dan lebih 60 anggota bomba telah dikerahkan.
“Kerja menyelamat rumit kerana gerabak pertama agak remuk. Ini menyukarkan untuk mengakses mangsa yang cedera,” kata anggota bomba Pavel Ber kepada pemberita di lokasi kejadian.
Jurucakap bomba tempatan, Vendula Horakova memberitahu bahawa kereta api barang itu mengangkut kalsium karbida.
Siasatan dijalankan untuk mengenai punca kemalangan. – AGENSI














