fbpx

K2

Hukum guna air sisa kumbahan terawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Tular di media sosial, ada sebahagian pihak yang mendakwa produk air suling yang dipasarkan di Malaysia sebagai minuman air mutanajjis. Ini kerana, ia terhasil daripada proses rawatan air sisa kumbahan. Mohon pencerahan, bolehkah meminum dan menggunakan air daripada sisa kumbahan untuk tujuan bersuci (taharah)?

Jawapan: Air kumbahan yang telah dirawat dan disingkirkan daripada elemen-elemen najis serta kotoran berdasarkan cara penyucian air mutanajjis melebihi dua kolah adalah air mutlak dan suci.

Oleh itu, penggunaan air tersebut boleh digunakan untuk bersuci (taharah), mahupun penggunaan harian.

Air merupakan elemen penting dalam kehidupan. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang kepentingan dan peranan air sebagai satu medium yang digunakan untuk menyucikan dan menjadi sumber kelangsungan hidup kepada manusia, haiwan dan binatang.

Air kumbahan atau dipanggil ‘influen’ merupakan campuran antara air dengan najis termasuk hasil perkumuhan daripada manusia seperti tinja dan air kencing manusia.

Air sisa kumbahan terdiri daripada gabungan air hitam (sisa kumbahan) dan air kelabu (dari dapur dan bilik mandi), air sisa dari institusi dan pusat komersial termasuk hospital, buangan industri sama ada bahan terlarut atau terampai.

Di Malaysia, pendekatan yang diambil oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) bagi mengelakkan pencemaran air hasil daripada sisa air kumbahan yang disalurkan dari paip pembentungan ke Loji

Rawatan Kumbahan (LRK) adalah dengan merawat sisa air kumbahan tersebut terlebih dahulu melalui beberapa proses.

Secara ringkasnya, proses rawatan ini bermula dengan prarawatan iaitu proses penyingkiran sampah sarap dan pepejal besar yang terdapat di dalam air kumbahan seperti pasir dan minyak.

Seterusnya, air kumbahan tersebut akan melalui proses rawatan kedua iaitu proses sekunder melalui proses penguraian daripada tindakan biologi, proses pengudaraan dan pemendapan.

Proses terakhir selepas proses rawatan sekunder adalah pemendapan di tangki ‘clarifier’.

Pepejal yang tertinggal dibiarkan mendap ke bawah tangki dan akan dibawa ke ‘sludge dewatering machine’.

Enapcemar ringan yang terapung akan dikumpul untuk rawatan semula dan dikeringkan untuk diguna sebagai baja atau perapi tanah.

Air kumbahan yang telah dirawat (efluen) dan dipastikan selamat akan disalurkan ke dalam sistem pengairan seperti sungai, parit atau laut.

Asasnya, hukum menggunakan air mutanajjis sebagai bahan makanan atau minuman sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal adalah haram.

Namun, persoalan lain yang timbul daripada penggunaan air kumbahan yang telah dirawat ini ialah sejauh manakah keadaan asal air yang mutanajjis boleh bertukar kepada status air mutlak. Selain itu, adakah air mutanajjis ini boleh digunakan untuk kegunaan harian sebagai minuman terutama perkara yang berkaitan dengan bersuci (taharah).

Bagi air yang berkuantiti melebihi dua qullah dan berubah dari salah satu sifat air (warna, bau dan rasa) air tersebut merupakan air mutanajjis boleh bertukar ke status air mutlak dan boleh digunakan sebagai minuman termasuk digunakan pada perkara yang berkaitan dengan bersuci (taharah). Hal ini dijelaskan Imam al-Nawawi menukilkan pandangan imam al-Syirazi dalam al-Majmu’:

Maksudnya: Apabila seseorang ingin menyucikan air mutanajjis, hendaklah dilihat keadaannya; jika najis menyebabkan perubahan pada sifat air dan kuantitinya melebihi dua qullah, maka air dikira suci dengan cara iaitu; pertama, berlaku perubahan kesan najis dengan sendirinya, atau dengan ditambah air yang lain kepadanya, atau diambil sebahagian air itu. Ini kerana kenajisan itu disebabkan perubahan sedangkan punca berlakunya perubahan tersebut sudah tiada.

Hal ini juga selari dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-100 yang bersidang pada 27 Februari 2017 bersamaan 30 Jamadil Awwal 1438H tentang “Penggunaan Semula Bioefluen Terawat Dan Biopepejal Dari Loji Rawatan Kumbahan (“LRK”) IWK:

Sistem infrastruktur yang mengalirkan kumbahan itu berupaya menjadikan air kumbahan tersebut suci lagi menyucikan (air mutlak) kerana berlakunya proses perubahan untuk menghilangkan najis dan mengekalkan semula sifat asal air yang suci lagi menyucikan. Justeru, air tersebut boleh digunakan untuk siraman bahkan ia boleh digunakan untuk minuman kerana air tersebut telah kembali kepada sifat air yang asal.

Kesimpulannya, air kumbahan yang telah dirawat dan disingkirkan daripada elemen-elemen najis serta kotoran berdasarkan cara penyucian air mutanajjis yang melebihi dua kolah adalah air mutlak serta suci.

Oleh itu, penggunaan air tersebut boleh digunakan untuk bersuci (taharah) mahupun penggunaan harian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI