KANGAR – Seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) antara tiga direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di negeri itu.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam di pejabat JAIPs.
Sementara dua lagi suspek anak beranak yang juga merupakan imam sebuah masjid dan pemilik syarikat masing-masing berusia 52 dan 25 tahun ditahan kira-kira pukul 6 petang hari sama di pejabat SPRM Perlis.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati pemilik syarikat disyaki membayar RM1.183 juta kepada pegawai JAIPs sejak April 2022 hingga Jun 2023.
“Siasatan juga mendapati terdapat kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar selain pendaftaran pernikahan tidak melalui prosiding mahkamah syariah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini
Menurut sumber itu lagi, ada pasangan yang ingin mendaftarkan perkahwinan mereka akan membayar wang tunai kepada syarikat perunding sebanyak RM5,000 dan wakil syarikat akan membayar denda kepada jabatan berkaitan melalui pegawai JAIPs tersebut sebanyak RM2,000.
Katanya lagi, baki sebanyak RM3,000 lagi akan diagihkan dalam kalangan ketiga-tiga suspek tersebut.
Permohanan reman ketiga-tiga suspek dilakukan di hadapan Majistret, Ana Rozana Mohd. Nor dan mahkamah membenarkan mereka direman lima hari bermula hari ini hingga 9 Jun.
Pengarah SPRM negeri, Mohd. Nor Adha Ab. Ghani ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan kes disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE